BUTTERWORTH, 10 April (Bernama) -- Pulau Pinang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ekonomi akan menganjurkan satu sesi meja bulat bersama pihak industri, akademik serta barisan kepimpinan negeri esok bagi membincangkan mengenai pelaksanaan tarif diumumkan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang adalah penyumbang eksport utama dalam negara pada Februari lepas bernilai RM9.3 bilion, negeri itu mungkin akan menerima impak yang serius susulan pelaksanaan tarif berkenaan.
“Justeru, seiring dengan usaha Kerajaan Persekutuan...Kerajaan Negeri juga mengambil tindakan proaktif dan relevan dalam berhadapan dengan situasi berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Negeri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2025 di di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor.
Pada 2 April lepas, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan satu siri 'tarif timbal balik' terhadap import dari kira-kira 90 negara yang melebihi cukai menyeluruh sebanyak 10 peratus dikenakan ke atas semua import ke negara itu.
Langkah itu secara langsung menaikkan duti import terhadap beberapa rakan dagang utama Washington termasuk Malaysia yang dikenakan tarif 24 peratus, bagaimanapun Trump hari ini mengumumkan penangguhan kenaikan tarif lebih tinggi tersebut selama 90 hari untuk memberi ruang kepada rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.
Dalam perkembangan lain, Chow berkata projek Pulau Silikon telah mencapai lebih 100 ekar dan tanah tersebut akan mula dijual pada hujung tahun ini untuk tujuan industri sementara kerangka Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara telah mula kelihatan di beberapa lokasi sekitar kawasan pulau negeri itu.
Selain itu, Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua turut akan dilaksanakan dalam suku keempat tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2030 manakala Pakej 1 Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara (NCPR) dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang dijangka bermula tahun depan, katanya.
“Kita melihat bukan sekadar projek infrastruktur yang giat dijalankan kini tetapi juga pembangunan pada aspek sosial, modal insan, pelancongan, sukan, perdagangan dan ekonomi yang memebri pelbagai kebaikan kepada rakyat negeri ini," katanya.
Lebih 3,000 tetamu hadir memeriahkan majlis rumah terbuka tersebut.
-- BERNAMA