AM

PERKHIDMATAN BAS PERCUMA DISEDIAKAN SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI BERSAMA TPM

11/04/2025 12:53 PM

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Orang ramai yang merancang untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Lebaran Kasih Aidilfitri bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad ini, boleh menggunakan perkhidmatan bas perantara percuma.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui hantaran di media sosial, dua laluan perkhidmatan bas percuma disediakan iaitu dari kawasan letak kenderaan awam serta Putrajaya Sentral, bagi membawa pengunjung ke lokasi majlis di Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria, Presint 16.

Bas perantara percuma dari lokasi parkir awam akan beroperasi dari Hentian Bas P3 H3 yang boleh dirujuk melalui pautan https://maps.app.goo.gl/2gvh8nbWtN7KF9N28.

Sementara itu, laluan kedua melibatkan perkhidmatan bas Maraliner yang bergerak secara ulang-alik dari Putrajaya Sentral ke Masjid Putra, kemudian ke Sri Satria.

Majlis rumah terbuka tersebut akan berlangsung dari 8 malam hingga 11 malam pada Ahad ini (13 April).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut dijadual menghadiri majlis berkenaan.

Kod pakaian yang ditetapkan bagi lelaki ialah pakaian kebangsaan atau baju batik Malaysia berlengan panjang, manakala bagi wanita ialah pakaian kebangsaan atau pakaian yang sopan dan sesuai.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan