AM

PESAWAH MOHON KERAJAAN TURUN HARGA BENIH PADI

13/04/2025 03:29 PM

PENDANG, 13 April (Bernama) -- Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) memohon agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengeluarkan segera arahan penurunan harga benih padi bagi musim 1/2025 untuk meringankan beban golongan itu.

Pengerusi PeSAWAH Abdul Rashid Yob berkata ia berikutan harga kawalan benih padi di pintu kilang pada ketika ini masih RM58 satu beg (20 kilogram) seperti ditetapkan pada Mac 2024, iaitu ketika harga padi semasa yang ditawarkan kilang mencapai hingga RM1,800 satu tan.

“Penurunan harga belian padi pada tuaian yang lepas iaitu sekitar RM1,500 menjadikan harga benih semasa pada masa ini tidak lagi munasabah. Tindakan perlu disegerakan kerana musim tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) fasa pertama (pelepasan air) akan bermula pada 16 April ini.

“Sekarang pesawah terpaksa beli benih padi sah dengan harga RM58 satu beg (20 kilogram) dan kami cadangkan harga sesuai diturunkan kepada RM35 satu beg di pintu kilang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Alor Belat di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata kenaikan kos sara hidup dan kadar sewa jentera untuk tanaman padi pada masa ini juga menyebabkan para pesawah mengalami kesukaran.

Beliau berkata penurunan harga benih juga sangat penting bagi memastikan kebajikan pesawah terus terbela.

Sementara itu, seorang pesawah Shukri Baharom, 63, berkata penurunan harga benih padi perlu disegerakan bagi mengurangkan impak semasa yang ditanggung pesawah.

“Harga benih padi ini meningkat sejak Mac 2024, berdasarkan harga padi masa itu satu tan RM1,800. Jadi, bila kerajaan dah umum harga lantai RM1,500, sepatutnya benih padi pun turun sama mengikut harga padi kita sekarang. Kami harap kerajaan mempertimbangkan perkara ini secepat mungkin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan