TAPAH, 12 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan jaminan akan menaik taraf semua Tabika dan Taska KEMAS di Perak, termasuk memperkukuh modul ibadah dan penghafalan surah lazim al-Quran dalam kalangan kanak-kanak.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata aspek pendidikan kekal menjadi keutamaan kerajaan, termasuk usaha memperkasa institusi prasekolah dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Beliau berkata institusi berkenaan berjaya melahirkan modal insan cemerlang dalam kalangan masyarakat luar bandar yang mampu memberikan sumbangan kepada negara.
“Jika sesebuah keluarga itu mahu berjaya, tumpuan mestilah diberikan kepada bidang pendidikan. Ramai juga anak-anak Orang Asli yang berjaya masuk ke MRSM, dan antara mereka yang memperoleh semua A dalam mata pelajaran ialah anak-anak Orang Asli,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis ‘Parenting Skill KEMAS’ di Kompleks Sukan Tapah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyifatkan Mohamad Yusri sebagai tokoh berkelayakan dan mampu meneruskan legasi khidmat cemerlang kepada rakyat, khususnya dalam memperkasa bidang pendidikan.
Beliau berkata latar belakang calon BN itu, yang merupakan seorang pendidik serta anak kepada bekas penyelia bina insan KEMAS, mampu membawa perubahan lebih besar kepada DUN Ayer Kuning.
"Dengan latar belakang agama yang kuat dan kelulusan akademik yang baik, beliau (Mohamad Yusri) bukan sahaja mampu menyambung tugas Allahyarham Ishsam Shahruddin, malah membawa pembangunan lebih besar kepada Ayer Kuning,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April, sementara pengundian awal pada 22 April.
-- BERNAMA