TAPAH, 13 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memberi tempoh sehingga 5 petang ini kepada semua syarikat telekomunikasi untuk mengemukakan penyelesaian terhadap masalah capaian Internet lemah di seluruh negara, atau berdepan tindakan tegas.
Fahmi berkata beliau telah menghubungi Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din pagi tadi dan mengarahkan supaya syarikat telekomunikasi terlibat memberikan maklum balas segera terhadap maklumat capaian lemah yang telah disampaikan kepada mereka.
“Saya lihat syarikat-syarikat telekomunikasi perlu lebih cergas menyelesaikan masalah. Bila bab kutip tunggakan bil, mereka sangat pantas, tetapi bila kita mengadu masalah capaian Internet, berbulan-bulan tiada tindakan.
“Saya sudah cukup bersabar. Jika mereka gagal mengemukakan penyelesaian yang tuntas dan segera sebelum 5 petang ini, MCMC akan mengambil tindakan penguatkuasaan mulai esok,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning di sini hari ini.
Turut hadir Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi dan Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir.
Fahmi berkata, berdasarkan ujian kelajuan (drive test) yang dijalankan MCMC pada 5 Mac lepas, masih terdapat banyak kawasan yang tidak memenuhi piawaian Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS), iaitu kelajuan minimum 7.5 Mbps yang akan ditingkatkan kepada 10 Mbps tahun depan.
“Masalah capaian Internet bukan hanya berlaku di kawasan Air Kuning, tetapi turut melibatkan tempat lain seperti Belaga dan Ulu Rajang di Sarawak, Bandar Baharu Serenia, kawasan luar Tambun serta Pulau Pangkor. Malah, beberapa kampung Orang Asli turut terjejas,” katanya.
Beliau menegaskan, sekiranya syarikat telekomunikasi terbabit gagal menyelesaikan masalah tersebut, mereka akan berdepan tindakan penguatkuasaan lebih tegas termasuk kompaun dan denda yang boleh mencecah jutaan ringgit.
“Selepas pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia berkuat kuasa 11 Feb 2025, jumlah denda dan kompaun yang boleh dikenakan ke atas syarikat telekomunikasi adalah jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut mengingatkan warganet agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau berkempen melalui media sosial, khususnya yang menyentuh isu 3R (kaum, agama, dan institusi diraja) sepanjang tempoh PRK Ayer Kuning.
“Jika terdapat individu yang memuat naik kandungan bersifat melampau atau menyentuh isu 3R, dan disabitkan kesalahan di mahkamah, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, kompaun hingga RM250,000 atau hukuman penjara.
"Saya berharap semua pihak menjalankan kempen dengan bertanggungjawab,” katanya.
Menurut Fahmi, setakat ini tiada aduan diterima berkaitan isu tersebut, namun beliau menjangkakan kempen akan menjadi lebih rancak dalam seminggu akan datang.
Mengulas isu penyokong Perikatan Nasional (PN) yang didakwa menggunakan karikatur menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Fahmi berkata beliau tidak terkejut dengan pendekatan itu.
“Kalau mereka mahu berkempen dengan cara begitu, terpulang. Itu cara mereka. Biarlah kita berkempen berdasarkan fakta, idea serta tawaran kepada rakyat, bukan sekadar mencaci dan mengherdik,” katanya.
-- BERNAMA