AM

RUSA GOLEK TARIKAN MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2025 DI PULAU PINANG

12/04/2025 07:51 PM

BUTTERWORTH, 12 April (Bernama) -- Hidangan rusa golek menjadi tarikan orang ramai pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, di sini hari ini.

Orang ramai mula beratur di gerai yang turut menyediakan kambing golek itu seawal pukul 1.30 tengah hari walaupun majlis hanya bermula pada 2 petang.

Pekerja katering yang menyediakan juadah itu Mohamad Akmal Amirudin berkata pihaknya menyediakan seekor rusa dengan berat 40 kilogram (kg) serta lima ekor kambing seberat 17 hingga 20 kg untuk dihidangkan kepada pengunjung yang hadir.

"Saya rasa majlis ini satu-satunya rumah terbuka yang menyediakan rusa golek … ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan orang ramai yang hadir hari ini. Persiapan bermula semalam bagi memastikan proses membakar dan menggolek berjalan lancar," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis itu.

Selain gerai kambing dan rusa golek, terdapat lebih 20 lagi gerai yang menyajikan laksa Penang, mi kari, nasi himpit dan kuah kacang, lemang, ketupat, sate, roti jala, mi sotong, cendol, pasembor dan apam balik, serta beberapa hidangan istimewa yang menjadi tarikan rakyat Pulau Pinang.

Selain gerai kambing dan rusa golek, terdapat lebih 20 lagi gerai yang menyajikan laksa Penang, mi kari, nasi impit dan kuah kacang, lemang, ketupat, sate, roti jala, mi sotong, cendol, pasembor dan apam balik, serta beberapa hidangan istimewa yang menjadi tarikan rakyat Pulau Pinang.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis jemputan antaranya legenda muzik rock Malaysia Datuk Hattan, penyanyi popular era 1990-an Aris Ariwatan dan penyanyi Black Hanifah.

Mereka masing-masing menyanyikan lagu hari raya yang bukan sahaja memukau pengunjung, malah tetamu kenamaan yang hadir juga.

Majlis yang menerima kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung anjuran bersama kerajaan Pulau Pinang dan Kementerian Sumber Manusia selaku kementerian peneraju itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta merupakan destinasi keempat selepas Melaka, Pahang dan Kelantan.

Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Menteri Sumber Manusia Stevan Sim Chee Keong, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 akan diteruskan di Sarawak pada 19 April dan Perak (25 April) sebelum menutup tirai di Perlis pada 27 April ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan