POLITIK

PRK AYER KUNING: AMANAH YAKIN DAPAT BANTU MENANGKAN LIMA PDM

12/04/2025 08:43 PM

TAPAH, 12 April (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) yakin dapat membantu memenangkan lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dipertanggungjawabkan kepada parti itu dalam memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kekal milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.

Lima PDM itu ialah Tanjung Keramat, Ayer Kuning, Sungai Kroh, Ayer Kuning Selatan serta Batu Tiga.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata jentera parti itu diyakini mampu menepis dakyah pembangkang terutama berhubung dakwaan Islam terancam di negara ini.

“Pembangkang sudah ketirisan modal apabila membangkitkan isu Islam terancam, sedangkan hal itu sudah banyak kali dijawab kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya Amanah di sini hari ini.

Turut hadir calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir.

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan