KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Sebanyak 75 peratus ahli PKR hari ini menunaikan tanggungjawab mereka untuk pemilihan parti berkenaan melibatkan negeri Selangor, Melaka, Perlis dan Kedah.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Pemilihan Keadilan 2025, undian di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang melibatkan tiga negeri iaitu Selangor, Melaka dan Perlis, manakala di Kedah hanya pemilihan AMK Cabang.
Di Selangor, kesemua pemilihan cabang berakhir pada 5 petang kecuali Cabang Hulu Langat yang dilanjutkan sehingga 7 malam tadi susulan pemindahan pusat pengundian fizikal.
Timbalan Pengerusi PKR Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata susulan pemindahan itu, tempoh pengundian dalam talian dan fizikal ahli PKR Cabang Hulu Langat dilanjutkan selama dua jam daripada tempoh dijadualkan iaitu pada 5 petang.
“Situasi pengundian dan pemilihan hari ini berlangsung dalam keadaan teratur, berjalan lancar serta lebih matang. Kita harap keputusan untuk pemilihan ini akan diperoleh lebih awal walaupun berlaku beberapa masalah teknikal,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pegawai Rasmi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Melaka Mohd Lokman Abdul Gani pula berkata 40 daripada 94 ahli keluar mengundi secara fizikal di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.
“Tiada sebarang masalah teknikal mahupun lain-lain perkara dikesan pada pemilihan pada hari ini,” katanya, sambil menambah 517 calon bertanding bagi pemilihan itu.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis Noor Amin Ahmad pula berkata proses pengundian secara dalam talian mahupun fizikal bagi pemilihan cabang PKR negeri itu yang melibatkan Cabang Kangar, Padang Besar dan Arau berlangsung dengan lancar tanpa sebarang isu besar dan selesai pada 5 petang seperti dijadualkan.
Beliau berkata pelaksanaan sistem baharu menggunakan teknologi blockchain pada pemilihan itu satu pendekatan positif dalam usaha memberikan penambahbaikan untuk ketelusan proses pengundian.
Mengulas mengenai kadar kehadiran pengundi secara fizikal yang agak rendah, Noor Amin tidak menolak kemungkinan faktor lokasi pusat mengundi yang jauh iaitu hanya satu yang dibuka di Kangar menyebabkan kurangnya kehadiran fizikal.
Difahamkan, hanya 15 daripada lebih 40 pengundi hadir mengundi secara fizikal melibatkan 10 orang bagi Cabang Kangar dan Cabang Padang Besar (lima), manakala tiada kehadiran fizikal bagi Cabang Arau.
Pemilihan bagi jawatan PKR di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang ditetapkan bermula semalam hingga 20 April.
Bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan pula akan diadakan pada 24 Mei ini.
-- BERNAMA