KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil, mengesahkan untuk bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadual berlangsung Mei ini.
“Saya telah mengunjungi beberapa negeri dan berbincang dengan ramai pemimpin. Setelah meneliti keperluan dan mempertimbangkannya secara mendalam, saya membuat keputusan...bahawa saya akan bertanding jawatan MPP. Tujuannya adalah untuk memperkukuh parti dan memberi nafas baharu kepada kepimpinan MPP.
“Insya-Allah, saya akan berusaha bersama rakan-rakan untuk menjalankan kempen secara sihat dan menzahirkan satu bentuk kepimpinan yang baharu. Ini penting kerana kepimpinan inilah yang akan membawa parti, bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, menuju Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.
Menteri Komunikasi itu berkata demikian kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di sini, malam tadi.
Pemilihan PKR bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang telah bermula 11 April dan akan berlangsung sehingga 20 April.
Sementara itu, pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP), dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) dijadualkan pada 24 Mei ini.
-- BERNAMA