SUKAN

PKBM YAKIN MUHAMMAD SHAH FIRDAUS MAMPU GEGAR RANKING DUNIA

14/04/2025 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) optimis pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom mampu menakluk ranking dunia pecut lelaki elit dalam tempoh terdekat.

Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill meluahkan keyakinanan berdasarkan pemantauan peribadinya terhadap persembahan Muhammad Shah Firdaus menerusi beberapa kejohanan utama, termasuk memenangi emas keirin pada Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Konya, Turkiye, bulan lepas.

“Saya melihat sendiri persembahan emas Muhammad Shah Firdaus di Konya. Kayuhannya semakin matang dan sangat bertenaga. Muhammad Shah Firdaus tahu apa yang dia mahukan selepas keluar daripada bayangan Azizul (Datuk Mohd Azizulhasni Awang).

“Muhammad Shah Firdaus semakin bijak dalam merencanakan strateginya ketika berlumba. Beri Muhammad Shah Firdaus sedikit masa. Saya yakin beliau akan menjadi pelumba nombor satu dunia dalam ranking UCI,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini.

Kejayaan sensasi dilakar pelumba berusia 29 tahun di Turkiye ialah pingat emas pertama diraihnya pada kejohanan UCI sekali gus pencapaian terbesar dalam kerjayanya setakat ini.

Bekalan 5,174 mata dalam kiraan UCI membolehkan anak kelahiran Johor itu menduduki ranking keenam dunia, iaitu kedudukan paling tertinggi dalam kariernya setakat ini.

Jaguh dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen kini mendominasi ranking pecut lelaki elit dengan 8,300 mata.

Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI turut berikrar akan terus memberi bantuan diperlukan pelumba berbasikal trek wanita Nurul Izzah Izzati Moh Asri untuk kekal cemerlang di persada kejohanan antarabangsa.

“Saya akan minta John Beasley (Pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara) bentuk program yang sesuai untuk Izzati.

“Saya mahu Muhammad Shah Firdaus dan Izzah Izzati cemerlang dalam semua kejohanan yang mereka sertai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan