KOTA KINABALU, 14 April (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian Datuk Ewon Benedick hari ini mencadangkan agar kerajaan Sabah menubuhkan unit khas bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia di negeri ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata berkata langkah itu perlu untuk menangani pelbagai isu teknikal dan pentadbiran yang sering menjadi punca kelewatan pelaksanaan projek pembangunan.
“Walaupun Majlis Tindakan Pembangunan Negeri ditubuhkan bagi tujuan pemantauan, harus ada unit yang benar-benar turun ke lapangan dan menangani isu seperti pertembungan antara jabatan dan agensi, masalah pengambilan tanah, pampasan serta kelulusan pihak berkuasa tempatan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Terima Kasih atas Ucapan Dasar Kerajaan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijadual dibentangkan di Parlimen sekitar Julai tahun ini dan beliau percaya kerajaan Sabah telah mengemukakan senarai keutamaan projek-projek pembangunan kepada Persekutuan.
“Pun begitu, kita semua harus mengambil iktibar perancangan Rancangan-Rancangan Malaysia sebelum ini yang masih banyak berlaku kelewatan pelaksanaan projek atas banyak faktor,” katanya.
Mengenai keusahawanan dan pembangunan koperasi di negeri ini, Ewon berkata sebanyak 53,398 usahawan dan koperasi di Sabah menerima bantuan geran dan pembiayaan berjumlah RM813.4 juta sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang diperkenalkan oleh kementeriannya, tumpuan khusus akan terus diberikan kepada pembangunan keusahawanan di Sabah dan Sarawak.
“Kajian separuh penggal Dasar Keusahawanan Negara 2030 yang akan dilaksanakan tahun ini juga akan mengambil kira keperluan pembangunan keusahawanan di Sabah termasuk pengukuhan rantaian bekalan, keterjaminan makanan dan sektor berimpak tinggi,” katanya.
Ewon turut menekankan keperluan untuk memperluas capaian internet ke seluruh pelusuk negeri bagi menyokong trend usahawan tempatan yang menggunakan platform media sosial untuk memasarkan produk mereka secara langsung.
“Selepas pelancaran Live Hub TikTok Shop TEKUN di Sabah, kita lihat peningkatan ketara dalam jualan produk usahawan. Namun isu kos penghantaran kargo ke luar Sabah masih menjadi cabaran besar dan memerlukan perhatian kerajaan,” katanya.
Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya kemudian menangguhkan persidangan.
-- BERNAMA