AM

HARGA KAWALAN MAKSIMUM BENIH PADI SAH DISELARAS KEPADA RM56 DAN RM52 SEKAMPIT - KPKM

14/04/2025 03:30 PM

PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Harga kawalan maksimum bagi benih padi sah (BPS) di bawah Insentif Benih Padi Sah akan diselaraskan kepada RM52 di peringkat borong dan RM56 bagi runcit per kampit 20 kilogram (kg) di Semenanjung Malaysia berkuat kuasa esok.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan sebelum ini harga kawalan maksimum BPS di peringkat borong ialah RM54 manakala RM58 bagi runcit per kampit 20 kg. 

"Penyelarasan harga kawalan maksimum bagi BPS di peringkat borong dan runcit dilaksanakan melalui sesi libat urus yang diadakan bersama pesawah dan pengeluar setelah mengambil kira pelbagai faktor antaranya kos pengeluaran BPS dan penyelarasan harga lantai belian padi. 

"Keputusan ini adalah sebahagian daripada usaha KPKM untuk menjaga kebajikan pesawah agar mereka mendapat benih padi yang berkualiti tinggi pada harga berpatutan serta memastikan ketersediaan bekalan BPS yang berterusan di pasaran untuk keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara," menurut kenyataan itu hari ini.

KPKM memaklumkan semua pemborong dan peruncit BPS diarah untuk menyelaras harga BPS di peringkat jualan masing-masing. 

Menurut kenyataan itu tindakan pembatalan lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) akan diambil terhadap pihak yang memanipulasi bekalan dan harga BPS seperti enggan menjual, menyorok bekalan serta mengenakan syarat pembelian atau menjual melebihi harga kawalan maksimum.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan