AM

MCMC PERHEBAT KOMUNITI DIGITAL INKLUSIF MENERUSI PROGRAM HBK DI AYER KUNING

13/04/2025 05:58 PM

TAPAH, 13 April (Bernama) -- Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning di sini hari ini menjadi pemangkin kepada pemerkasaan komuniti setempat, menerusi pengenalan pelbagai perkhidmatan pintar.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), program itu dapat memperkukuh agenda keterangkuman digital dan pembangunan komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menerusi pendekatan yang menyeluruh.

“Program hari ini memperlihatkan penyertaan aktif pelbagai lapisan masyarakat dalam aktiviti-aktiviti berimpak tinggi berteraskan kemahiran, pembelajaran, pembangunan kendiri dan keusahawanan komuniti,” menurut kenyataan itu.

Program berkenaan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Antara pengisian utama HBK termasuk promosi Perkhidmatan Pintar NADI yang memperkenalkan lima teras program pintar kepada pengunjung, selain pendaftaran ahli baharu dan penyertaan latihan digital.

Turut diadakan taklimat keselamatan siber dan etika penggunaan Internet, program NADIpreneur dan EmpowHER yang memberi pendedahan asas keusahawanan, serta saringan kesihatan percuma sebagai inisiatif penjagaan kesihatan awal.

Program ini juga menampilkan pameran serta jualan produk usahawan dari NADI Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor, sekali gus menyediakan platform promosi dan pemasaran produk tempatan.

HBK turut melibatkan kerjasama antara agensi menerusi penganjuran Jualan Rahmah MADANI oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jualan Agro MADANI Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menawarkan barangan keperluan dan hasil tani segar pada harga berpatutan.

HBK merupakan antara inisiatif MCMC dalam memperkasakan komuniti melalui pendekatan teknologi dan digital yang inklusif, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam membina masyarakat celik digital.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan