KOTA BHARU, 13 April (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendedahkan terdapat syarikat yang melaksanakan projek berskala besar dikesan melakukan sambungan air secara haram bagi mengelakkan bayaran caj bekalan sah kepada operator berlesen.
Timbalan Pendakwa Raya SPAN Mohd Suhairy Zakaria berkata kegiatan mencuri air terawat itu dilakukan secara terancang bagi mengaut keuntungan berganda.
“Berdasarkan kes-kes yang dikendalikan di mahkamah, kegiatan ini berselindung di sebalik kerja-kerja pembinaan, menjadikan ia sukar dikesan pihak berkuasa.
“Antara modus operandi yang dikesan adalah penyambungan terus dari paip utama bawah tanah secara tidak sah manakala sambungan sah hanya sebagai helah. Paip haram sebenarnya digunakan di tapak projek,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kota Bharu, di sini hari ini.
Beliau berkata lokasi menggali dan memasang paip yang berada dalam kawasan milik kontraktor juga menyukarkan usaha pihak berkuasa mengesan aktiviti itu.
Menurut Mohd Suhairy, lebih 100 kes direkodkan secara purata setiap tahun sejak beberapa tahun lepas termasuk membabitkan projek mega bernilai puluhan juta hingga bilion ringgit.
“Sebagai contoh, terdapat kes melibatkan projek bernilai RM89 juta tetapi sambungan air dibuat secara haram demi memaksimumkan keuntungan.
“Tindakan ini bukan sahaja menyebabkan pengguna lain berdepan masalah bekalan air malah operator air turut mengalami kerugian besar dan ada kes mencecah sehingga RM500,000,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 40 peratus daripada kes tersebut telah dibawa ke mahkamah manakala selebihnya dikenakan kompaun bergantung kepada tahap kesalahan dan jumlah kerugian.
Bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah dipinda dan diwartakan pada Mei tahun ini dengan peningkatan kadar hukuman maksimum daripada RM100,000 kepada RM1 juta.
“Setakat ini, belum ada kes baharu yang didakwa di bawah pindaan akta tersebut kerana masih dalam tempoh siasatan dan proses kelulusan pendakwaan namun kita akan mengambil tindakan lebih tegas selepas ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, sebuah anak syarikat konglomerat kejuruteraan pembinaan China dikenakan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan mencuri bekalan air terawat milik Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk pembangunan kondominium mewah di sini.
-- BERNAMA