LAHAD DATU, 13 April (Bernama) -- Kerajaan tidak akan memberi taraf kewarganegaraan Malaysia kepada individu tertentu sewenang-wenangnya, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Menegaskan perkara itu beliau berkata taraf kewarganegaraan, merupakan anugerah tertinggi kerajaan yang diberikan kepada individu dan status itu hanya diberikan kepada yang layak, serta memenuhi syarat-syarat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pemberian taraf kewarganegaraan itu memerlukan penyiasatan, penelitian sebelum individu yang layak itu dapat kita berikan dokumen yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO di sini hari ini.
Shamsul Anuar berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaksanakan program menyemai kasih rakyat (Mekar), iaitu inisiatif kerajaan dalam menyantuni rakyat di kawasan pedalaman serta luar bandar untuk memberi kemudahan antaranya pendaftaran kelahiran termasuk kad pengenalan.
Beliau berkata program Mekar bertujuan untuk membantu proses membuat dokumen pengenalan diri tanpa perlu pergi ke pejabat JPN yang jauh daripada penduduk kampung.
“Pegawai JPN akan turun ke kawasan pedalaman dengan membawa kelengkapan untuk membantu rakyat dengan memberi khidmat nasihat termasuk menyelesaikan masalah berbangkit berkaitan dokumentasi," katanya.
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah melaksanakan tanggungjawab baik serta tersusun, dalam memastikan tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah terkawal malah sejak 15 Jan 2020 hingga hari ini tiada kes penculikan berlaku.
Bagaimanapun beliau turut mengingatkan agar sentiasa berwaspada dan melaksanakan pelbagai operasi dengan kerjasama agensi keselamatan lain, antaranya Op Sanggah dan Op Gasak untuk mengesan pelbagai anasir, tali barut dan elemen jenayah rentas sempadan di kawasan terlibat.
Shamsul Anuar berkata sebanyak 1.3 juta pemeriksaan fizikal dijalankan, sama ada melalui sekatan jalan raya atau pemeriksaan bot dilakukan sepanjang tahun lepas.
-- BERNAMA