FOKUS BERNAMA

PERSEKITARAN KERJA TIDAK ERGONOMIK BERISIKO CETUS MASALAH KESIHATAN JANGKA PANJANG

14/04/2025 10:30 AM

Persekitaran kerja yang tidak ergonomik dipercayai antara punca pelbagai masalah kesihatan, khususnya berkaitan tulang belakang, otot, sendi serta stres dalam kalangan pekerja di pelbagai sektor di negara ini.

Isu itu dikatakan menjadi antara punca cuti sakit di samping penurunan produktiviti yang seterusnya menjejaskan prestasi sesebuah organisasi.

Menurut Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) Ahmad Fakhrul Anuar Ismail, masalah itu kerap dibangkitkan oleh tenaga kerja dalam pelbagai program yang dianjurkan oleh pihaknya.

Rata-rata katanya menyuarakan kebimbangan tentang kesejahteraan hidup mereka untuk jangka masa panjang.

“Antara yang kerap dibangkitkan ialah peningkatan cuti sakit akibat ketidakselesaan otot dan sendi serta tekanan kerja kerana persekitaran tempat kerja mereka tidak ergonomik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 

APA ITU ERGONOMIK?

Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Amer Shakir Zainol berkata ergonomik merujuk disiplin sains yang mengkaji tentang interaksi manusia dengan reka bentuk dan peralatan di tempat kerja bagi mewujudkan persekitaran yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan fizikal pekerja.

pic-2

Beliau berkata persekitaran ergonomik dapat dicapai dengan mengurangkan tekanan fizikal dan mental yang dialami oleh pekerja pada sepanjang hari mereka di tempat kerja.  

Katanya tanpa pengadaptasian ergonomik yang betul, pekerja berisiko menghadapi pelbagai masalah kesihatan yang boleh merosakkan tubuh badan mereka dalam jangka panjang, dengan antara masalah paling lazim ialah sakit belakang dan leher.

“Ergonomik merangkumi hubungan antara manusia dan persekitaran mereka. Di negara Barat, konsep ini telah lama diterapkan dalam pelbagai aspek, termasuk reka bentuk peralatan dan kenderaan. Sebagai contoh, jenama automotif seperti Mercedes-Benz menitikberatkan faktor ergonomik dalam reka bentuk tempat duduk kenderaan mereka bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pemandu,” katanya kepada Bernama.

Mengambil contoh syarikat seperti Google dan institusi tempatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, beliau berkata konsep ergonomik diterapkan dalam reka bentuk perabot di pejabat kedua-dua organisasi itu.

Jelasnya, faktor seperti reka bentuk tempat kerja yang fleksibel memainkan peranan penting untuk mengelakkan pekerja menghabiskan banyak masa di meja kerja atau duduk di posisi yang statik, iaitu antara penyumbang kepada ketegangan otot belakang dan leher.

“Di syarikat-syarikat ini, mereka tidak lagi mengamalkan konsep satu meja kerja untuk setiap pekerja, sebaliknya kakitangan boleh memilih untuk bekerja di pelbagai ruang, termasuk di kafe atau di kerusi yang lebih selesa mengikut keperluan mereka,” katanya. 

 

PERSEKITARAN TIDAK ERGONOMIK DI MALAYSIA

Dalam pada itu, Ahmad Fakhrul Anuar berkata secara umumnya persekitaran kerja di Malaysia masih belum mencapai tahap ergonomik yang optimum, terutamanya dalam kalangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), namun situasi tersebut masih boleh dianggap terkawal.

“Statistik berkaitan gangguan sistem muskuloskeletal (MSDs) di Malaysia menunjukkan trend yang konsisten dengan negara-negara lain, termasuk negara maju, mencerminkan bahawa isu ergonomik merupakan cabaran sejagat, bukan hanya terbatas di Malaysia,” katanya.

Malah kata beliau, Malaysia menunjukkan perkembangan positif dalam bidang ergonomik, terutamanya melalui inisiatif oleh pihak kerajaan serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Katanya beberapa garis panduan telah diterbitkan bagi membantu industri melaksanakan intervensi ergonomik yang sesuai seperti Garis Panduan Pengendalian Manual 2018, Garis Panduan Penilaian Risiko Ergonomik 2017, Garis Panduan Duduk di Tempat Kerja 2024, Garis Panduan Berdiri di Tempat Kerja 2024 dan Garis Panduan Bekerja dengan Skrin Paparan 2024.

“MSOSH menyokong penuh inisiatif ini dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama kerajaan melalui seminar, latihan berkala dan sesi perbincangan teknikal.

“Pada masa ini JKKP juga sedang dalam proses menaik taraf beberapa garis panduan tersebut kepada Kod Amalan bagi meningkatkan tahap pematuhan dan keberkesanan kawalan terhadap isu ergonomik di tempat kerja,” katanya.

 

KESAN JANGKA PANJANG PERSEKITARAN TIDAK ERGONOMIK

Menurut Ahmad Fakhrul Anuar, kesan jangka panjang akibat persekitaran kerja yang tidak ergonomik boleh menjadi serius dan mempengaruhi kualiti hidup pekerja, dengan kebanyakan kes bukan sahaja menyebabkan kecacatan fizikal tetapi juga membawa kepada masalah kesihatan mental seperti stres dan kemurungan akibat kesakitan berterusan. 

pic-3

“Pekerja yang mengalami masalah kesihatan ini mungkin perlu mengambil cuti sakit yang akhirnya menjejaskan produktiviti mereka.

“Selain itu, syarikat yang tidak menyediakan persekitaran kerja ergonomik juga berisiko menghadapi masalah produktiviti dan kos perubatan lebih tinggi. Pekerja yang tidak sihat akan menghadapi kesukaran dalam menumpukan perhatian dan bekerja dengan efisien, yang akhirnya memberi kesan kepada prestasi keseluruhan syarikat,” katanya.

Bersetuju bahawa persekitaran kerja tidak ergonomik berisiko menjejaskan kesihatan pekerja, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata penggunaan kerusi meja yang tidak sesuai atau tempoh bekerja terlalu panjang tanpa rehat mencukupi adalah antara faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan pekerja.

“Pencahayaan yang tidak mencukupi dan peralatan kerja yang tidak mesra pengguna turut meningkatkan risiko keletihan dan ketidakselesaan. Selain kesan fizikal, pekerja juga berdepan tekanan mental akibat persekitaran kerja yang tidak selesa, yang boleh menjejaskan tumpuan dan produktiviti mereka,” jelasnya.

Sakit belakang merupakan masalah kedua tertinggi dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan paling kerap dilaporkan di seluruh dunia.

 

LANGKAH-LANGKAH  MENGATASI 

Ahmad Fakhrul Anuar berkata antara langkah yang perlu dilakukan oleh majkan bagi menjamin kesejahteraan pekerja mereka ialah memastikan reka bentuk tempat kerja memenuhi keperluan kakitangan masing-masing.

“Antara langkah asas yang boleh dilakukan oleh majikan ialah memastikan meja dan kerusi boleh dilaraskan. Begitu juga dengan kedudukan monitor komputer. Kesemua ini penting bagi mengurangkan tekanan fizikal pada tubuh pekerja.  

“Syarikat juga perlu memberi latihan kepada pekerja tentang cara menguruskan postur tubuh mereka dengan betul, bagaimana untuk mengangkat objek dengan selamat dan teknik lain yang dapat mengurangkan risiko kecederaan,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan penggunaan alat ergonomik seperti kerusi ergonomik, penggunaan skrin yang betul, papan kekunci dan tetikus yang direka khas untuk mengurangkan ketegangan pada tangan dan pergelangan tangan bagi mereka yang bekerja dengan komputer atau peranti lain yang memerlukan pergerakan berulang.

Pada masa sama, beliau turut menggalakkan pekerja berehat seketika selepas bekerja dalam jangka masa panjang, bagi mengurangkan tekanan pada mata, leher dan bahu mereka.

“Kefahaman tentang kesihatan pekerjaan boleh mengurangkan risiko masalah kesihatan yang berkaitan dengan pekerjaan,” tegasnya.

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan