AM

ASEAN AMAL PENDEKATAN ANGKAT EKONOMI SERANTAU, JAMIN PERTUMBUHAN BERSAMA - ANWAR

14/04/2025 01:32 PM

PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- ASEAN mengamalkan pendekatan mengangkat kedudukan ekonomi serantau bagi pertumbuhan ekonomi yang selesa kepada semua demi keamanan dan kemakmuran rantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini kerana sekiranya terdapat negara anggota ASEAN yang terpencil, tertinggal dan terpinggir, ia akan membebankan negara-negara jiran lain.

"Umpamanya pertelingkahan di Myanmar. Tak selesai, masalah Myanmar - 200,000 orang Rohingya datang ke Malaysia, tak selesai masalah itu...kerana rundingan antara ASEAN dengan mereka (Myanmar) itu agak terbatas.

“Jadi perlu ada kebijaksanaan untuk kita rangkul kekuatan bersama," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara kerjasama penting yang sedang digerakkan di peringkat ASEAN termasuk dalam aspek kastam dan imigresen yang antaranya bertujuan memperkemas laluan sah perdagangan dan pergerakan rakyat antara negara berjiran.

“Penambahbaikan dalam sistem kastam dan imigresen akan memberi manfaat besar dalam aspek ekonomi dan pelancongan, khususnya bagi negara-negara Asia Tenggara yang saling bersempadan.

“Rantau ini sememangnya kaya dengan tarikan semula jadi – Malaysia dengan keindahan gunung-ganang, pantai, hutan tropika dan duriannya; Thailand pula terkenal dengan budayanya yang unik dan Filipina serta Indonesia memiliki daya tarikan pulau dan pantai menakjubkan. Keindahan ini perlu dimanfaatkan bersama melalui promosi pelancongan serantau,” katanya.

Oleh yang demikian, beliau berkata tumpuan juga harus diberikan kepada memperkukuh pelancongan intra-ASEAN, iaitu menggalakkan rakyat dari negara-negara ASEAN sendiri untuk melancong di dalam rantau ini.

Anwar berkata dengan memperbaiki kemudahan rentas sempadan, memperluas promosi bersama, dan memastikan keselamatan pelancong, sektor pelancongan dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif di rantau ASEAN.

Beliau berkata ASEAN mempunyai cerita membanggakan dan kejayaan dalam tempoh puluhan tahun penubuhannya atas visi pimpinan terdahulu untuk rantau ini termasuk Almarhum Tun Abdul Razak yang pada ketika itu perdana menteri dengan rakan-rakan di Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina.

"Wawasan mereka ialah untuk menjadikan rantau ini damai, aman dan tidak terjerumus dan terperangkap dengan konflik perang dingin ketika itu Kesatuan Soviet (USSR) dan Amerika Syarikat. Jadi kita harus neutral masa itu, jangan terperangkap dengan gelagat kuasa besar.

"Sekarang dalam ASEAN, kita sebut centrality, ada hubungan dengan semua, hubungan baik dengan semua, tapi jaga kepentingan negara kita dan rantau kita," katanya.

Selain itu Anwar berkata kerjasama serantau dalam sektor pelancongan untuk meningkatkan pelaburan intra-ASEAN juga dipergiatkan dengan memberi kemudahan dan kelonggaran, serta pelaksanaan ASEAN Power Grid (APG) yang selari dengan dasar peralihan tenaga.

"APG belanjanya tentu besar, mencecah puluhan bilion dolar peringkat awalnya, kalau boleh kita adakan gerakan bersama untuk menunjukkan kekuatan, dengan sendirinya menarik pelaburan dari negara-negara lain," katanya.

Anwar berkata inisiatif intra-ASEAN lain termasuk ketersembungan pembayaran merentasi sempadan, yang memudahkan urusan kewangan, dan ASEAN Authorised Economic Operator bagi memudahkan perdagangan dalam ASEAN.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan