JAKARTA, 15 April (Bernama) -- Tourism Malaysia sedang mengadakan jelajah promosi selama seminggu merentasi empat bandar raya utama di Indonesia iaitu Medan, Yogyakarta, Jakarta dan Surabaya bagi meningkatkan minat terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Program yang berlangsung sehingga 18 April itu melibatkan penyertaan 35 penggiat industri pelancongan Malaysia termasuk agensi pelancongan, hotel, pusat peranginan, pemilik produk serta wakil program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H).
Ketika berucap pada Misi Promosi Pelancongan ke Indonesia di sini pada Selasa, Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin berkata jelajah itu bertujuan menarik pelancong berbelanja besar serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.
“Inisiatif strategik ini menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 serta Tahun Melawat Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) 2023-2025, sekali gus memperkukuh kerjasama serantau antara ketiga-tiga negara,” katanya.
Indonesia kekal sebagai pasaran penting bagi Malaysia dan sentiasa berada dalam kalangan lima negara teratas dari segi ketibaan pelancong, katanya sambil menekankan keperluan memanfaatkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk mempererat hubungan pelancongan.
Pejabat Tourism Malaysia di Jakarta dan Medan turut mempergiat promosi melalui program seperti Jelajah VM2026 dan Pertukaran Pelancongan di Cirebon dan Semarang (6 hingga 8 Mei), Makassar dan Balikpapan (19 hingga 21 Ogos), serta Pesta Pelancongan Malaysia (25 hingga 28 September).
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin menyifatkan hubungan dua hala sebagai amat kukuh merangkumi kerjasama kerajaan, ekonomi dan budaya, sambil menyuarakan harapan agar inisiatif ini bakal mempererat hubungan antara rakyat.
Beliau menggalakkan pelancong Indonesia untuk meneroka bukan sahaja destinasi popular seperti Johor, Pulau Pinang dan Melaka, tetapi juga permata tersembunyi seperti Sabah, Sarawak, Kelantan, Perak dan Terengganu.
“Sama ada untuk percutian keluarga, pelancongan kesihatan, pendidikan atau bersantai, Malaysia menawarkan sesuatu untuk semua,” tambahnya.
-- BERNAMA