POLITIK

PINDA AKTA KESALAHAN PILIHAN RAYA UNTUK REFORMASI DEMOKRASI MENYELURUH - ABIM

14/04/2025 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 perlu dipinda bagi memastikan ia relevan dan selari tuntutan semasa, selain menjadikan persaingan politik dalam negara lebih beretika.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata perubahan terhadap kerangka undang-undang ini amat penting bagi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi dan kepimpinan negara.

Mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak mengumumkan sebarang peruntukan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, beliau berkata ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh integriti, ketelusan dan memastikan medan persaingan politik yang adil.

“ABIM mengharapkan ia adalah permulaan ke arah merealisasikan aspirasi rakyat yang ingin proses demokrasi bersih, telus dan bebas daripada sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa atau pengaruh menggunakan instrumen kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fahmi berkata ABIM juga menyeru agar komitmen ini dipraktikkan secara konsisten di semua peringkat termasuk parti politik dan negeri-negeri pembangkang serta dijadikan amalan standard dalam mana-mana kempen pilihan raya akan datang.

Beliau berkata ABIM berpandangan bahawa usaha kerajaan seperti dinyatakan Perdana Menteri itu perlu disokong dengan reformasi yang lebih menyeluruh untuk jangka masa panjang termasuk dengan meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan akta-akta berkaitan agar selari dengan tuntutan semasa. 

"Langkah berkenaan juga akan mengangkat martabat demokrasi serta menjadi indikator kematangan politik negara yang lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan