DUNIA

PASARAN GETAH DITUTUP LEBIH TINGGI BERIKUTAN KEKURANGAN BAHAN MENTAH

14/04/2025 05:37 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini berikutan kebimbangan yang berterusan terhadap kekurangan bekalan bahan mentah akibat cuaca dan musim sejuk di negara-negara pengeluar getah asli (NR) utama, kata seorang peniaga.

Sentimen pasaran juga dilonjakkan oleh kenaikan dalam niaga hadapan getah Shanghai di tengah -tengah data ekonomi China yang amat positif selain langkah-langkah rangsangan China yang berpotensi.

“Bagaimanapun, keuntungan selanjutnya telah dihadkan oleh pengukuhan ringgit serta kejatuhan dalam harga minyak mentah di tengah-tengah perang perdagangan yang semakin memanas di antara Amerika Syarikat (AS) dan China berdasarkan pemantauan para peniaga ke atas data NR yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” katanya kepada Bernama.

Menurut peniaga itu, agensi meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat dan ribut di beberapa kawasan selatan negara tersebut mulai 14 hingga 19 April ini. Ia memberi amaran kepada petani bahawa keadaan ini mungkin akan menjejaskan tanaman. 

Pertumbuhan eksport China juga telah mengatasi unjuran Mac, menokok 12.4 peratus dari tahun ke tahun selepas kilang-kilang segera mengedarkan eksport sebelum tarif AS berkuatkuasa.

Sehingga 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga SMR 20 meningkat sebanyak 4.5 sen kepada 767.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 1.5 sen kepada 658.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan