AM

SEDA KOMITED PERKASA AGENDA TENAGA BOLEH BAHARU DAN KELESTARIAN TENAGA

14/04/2025 06:33 PM

CYBERJAYA, 14 April (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia komited memperkukuh hubungan strategik bersama para pemegang taruh utama dalam usaha memperkasa agenda pembangunan tenaga boleh baharu dan kelestarian tenaga negara.

Dalam satu kenyataan, SEDA memaklumkan bahawa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 anjurannya hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, menjadi platform interaksi strategik serta kolaborasi merentas sektor.

“Dalam era peralihan tenaga yang semakin pesat, majlis ini bukan sekadar sambutan perayaan tetapi turut menjadi ruang interaksi strategik dan kolaborasi merentas sektor merentas sektor demi memperkukuh agenda pembangunan tenaga boleh baharu dan kelestarian tenaga negara,” menurut kenyataan itu.

SEDA turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang terus menyokong pelaksanaan pelbagai dasar dan inisiatif SEDA dalam usaha mengarusperdanakan tenaga lestari sebagai teras pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli, Pengerusi SEDA Ahmad Zairin Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hamzah Hussin.

Acara tahunan SEDA itu dihadiri 800 tetamu antaranya daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Indah Water Konsortium (IWK) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan