AM

TAMAN KUCING MADANI JADI INSPIRASI PERLINDUNGAN HAIWAN JALANAN

14/04/2025 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pencinta kucing disaran mengutamakan pengambilan kucing jalanan yang diselamatkan sebagai haiwan peliharaan, berbanding membeli haiwan berkenaan.

Penaung Taman Kucing MADANI Datuk Azman Abidin berkata pendekatan itu bukan sahaja mampu mengurangkan jumlah kucing terbiar, malah memberi sinar baharu kepada haiwan yang selama ini bergelut untuk hidup di jalanan.

“Menerusi program kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), langkah ini melibatkan bayaran RM150. Ia bukan bermakna kita menjual kucing berkenaan sebaliknya sebagai komitmen bukti masyarakat benar-benar mahu membela haiwan ini.

“Kucing-kucing tersebut telah dijaga dengan sempurna termasuk diberikan vaksinasi sebelum diserahkan penjagaannya kepada pemilik yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Avenue Katz Adoption Fiesta di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Dr Arie Dwi Andika.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata projek Taman Kucing MADANI yang dilancarkan tahun lepas kini menjadi antara simbol keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan haiwan jalanan dan usaha itu bakal diperkasa dengan pembinaan taman baharu yang lebih besar.

Beliau berkata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menyatakan hasrat untuk membina sebuah lagi taman kucing dengan skala lebih besar, dalam usaha memperluas perlindungan kepada lebih banyak haiwan jalanan yang memerlukan.

Menurut Azman Taman Kucing MADANI di Flat Sri Sabah, yang dirasmikan pada 2023 kini menempatkan kira-kira 70 ekor kucing yang diselamatkan dengan jumlah itu berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada proses pengambilan dan penempatan semula.

“Setiap pihak yang ingin mengambil haiwan berkenaan sebagai haiwan angkat, kita akan periksa latar belakang mereka terlebih dahulu bagi mengelakkan kucing ini dijadikan makanan bagi haiwan peliharaan mereka,” katanya.

Sementara itu, mengenai Avenue Katz Adoption Fiesta Azman berkata program itu berlangsung bermula hari ini hingga Ahad dan menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk 40 ekor kucing yang sedia untuk diangkat, pertunjukan fesyen kucing, taman interaksi haiwan serta perkhidmatan vaksinasi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan