KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Dua bekas perdana menteri malam ini berkongsi kenangan yang pernah dilalui bersama Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, terutama ketika masing-masing berkhidmat di bawah pentadbiran Perdana Menteri kelima itu.
Menyifatkan Allahyarham sebagai seorang sahabat, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingati Abdullah sebagai seorang guru dan pemimpin, yang sentiasa memberi nasihat serta tunjuk ajar kepada beliau.
Bukan itu sahaja, Najib yang juga merupakan Perdana Menteri keenam turut mengagumi kepimpinan Allahyarham yang berteraskan akauntabiliti serta mengutamakan kecemerlangan sama ada dalam politik dan pentadbiran.
“Bersandarkan kepada semangat dan prinsipnya juga yang menjadi antara beberapa faktor mendorong kepada terlahirnya prinsip pentadbiran 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
“Secara peribadinya, Pak Lah amat rapat dengan kami sekeluarga. Bagaikan abang dan teman rapat ketika susah dan senang.
“Pak Lah akan sentiasa dikenang dengan sumbangannya kepada agama, bangsa dan negara. Seorang insan yang mulia. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Pak Lah dan rakan-rakan,” katanya dalam catatan di Facebook.
Najib memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Abdullah bermula 7 Jan 2004 hingga 3 April 2009.
Sementara itu, bagi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Abdullah dianggap sebagai seorang bapa yang memimpin dan membimbing beliau dalam politik dan pentadbiran kerajaan, sehingga mencapai ke kemuncaknya.
“Saya banyak terhutang budi dengan Allahyarham. Allahyarham Pak Lah yang memberi kepercayaan kepada saya untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen Bera pada tahun 2004 dan seterusnya mengangkat saya sebagai Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2008.
“Negara berduka atas kehilangan ini. Seorang negarawan yang mengabdikan dirinya untuk agama, bangsa dan tanah air. Seluruh rakyat khususnya saya secara peribadi amat menghargai jasa Allahyarham,” kata Perdana Menteri kesembilan itu menerusi catatan di Facebook.
Tun Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada 7.10 malam.
Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
-- BERNAMA