AM

SAJAK “KU CARI DAMAI ABADI” KEMBALI DIKONGSI RAKYAT BAGI MENGENANG TUN ABDULLAH

15/04/2025 11:52 AM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Sajak nukilan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi berjudul "Ku Cari Damai Abadi" kembali dikongsi rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang sebagai tanda penghormatan dan kenangan terhadap Perdana Menteri Kelima itu.

Bait-bait sajak yang ditulis Allahyarham, lebih dikenali sebagai “Pak Lah”, pada 2004 kembali tular di media sosial sejak berita pemergian beliau dilaporkan malam tadi.

 

Aku cari bukan harta bertimbun-timbun

Untuk hidup kaya

Aku cari bukan wang berjuta-juta

Untuk hidup bergaya

Aku cari bukan kawan-kawan

Untuk hidup sekadar berfoya-foya

Aku cari mana dia Al-Ghazali

Aku cari mana dia Al-Shafie,

Kita bongkar rahsia kitab suci

Cari pedoman

Kita bongkar rahsia sunnah nabi

Cari panduan

Aku hidup kerana Dia Rabbi

Dialah teman

Dialah wali

Dia mencukupi

Aku hidup bererti

Menikmati damai abadi

 

Bekas Pengurus Besar Grup Buku Karangkraf Sri Diah Shaharuddin, yang turut berkongsi sajak itu di Facebook, berkata sebagai penulis, beliau amat mengagumi karya Allahyarham yang disifatkannya sarat dengan jiwa dan pemikiran mendalam.

"Selamat berangkat ke negeri abadi Pak Lah. Kami mendoakan Tuhan menyambutmu dengan rahmat dan keampunan-Nya," katanya, sambil menambah bahawa sajak itu turut dinyanyikan oleh legenda rock terkenal Datuk Ramli Sarip.

Seorang lagi penulis, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata sajak itu bersifat simbolik dan mencerminkan aspirasi untuk mencari makna kehidupan sebenar, bukan melalui harta, wang atau kenikmatan dunia semata-mata, sebaliknya melalui hubungan dengan Tuhan dan pencarian ketenangan rohani.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau menjelaskan bahawa sajak berkenaan menekankan hakikat bahawa kebahagiaan sejati tidak datang daripada kekayaan material atau hiburan duniawi, tetapi melalui kesedaran spiritual dan hubungan yang erat dengan Yang Maha Esa.

“Setiap baris sajak ini mengajak pendengar atau pembacanya untuk merenung kembali perkara yang paling penting dalam kehidupan, iaitu mencari serta menikmati damai yang abadi melalui iman dan penghayatan terhadap petunjuk suci,” katanya.

Dr Kamarul turut memaklumkan bahawa sajak tersebut telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan terus memberi inspirasi kepada ramai pihak, memperlihatkan betapa mendalamnya falsafah yang diungkapkan oleh Allahyarham dalam mengajak masyarakat memandang kehidupan secara lebih holistik dan bermakna.

Sementara itu, penulis Fakhri Fadzli menyifatkan Allahyarham Pak Lah sebagai seorang penulis dan pemikir.

“Puisi beliau, Ku Cari Damai Abadi, merupakan prinsip dan falsafah hidup yang beliau pegang,” katanya menerusi catatan di laman X sambil mengajak pengikutnya meluangkan masa untuk menghayati bait-bait sajak berkenaan.

Allahyarham Tun Abdullah, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pukul 7.10 malam tadi pada usia 85 tahun.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan