AM

JENAZAH TUN ABDULLAH SELAMAT DISEMADIKAN DI MAKAM PAHLAWAN

15/04/2025 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang.

Perdana Menteri kelima itu dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.

Terdahulu, solat jenazah, tahlil serta bacaan talkin dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Selain balu Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, turut berada di Makam Pahlawan ialah anak Allahyarham, iaitu Tan Sri Kamaluddin serta Nori, dan suami Khairy Jamaluddin dan beberapa ahli keluarga terdekat. 

Turut berada di Makam Pahlawan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta pemimpin lain. 

Terdahulu, penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdullah bermula pada 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Abdullah yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah" meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan