KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- pelanggan Maybank yang melancong ke Kemboja kini boleh membuat pembayaran runcit KhmerQR secara serta-merta melalui Aplikasi MAE, pada bila-bila masa dan di mana jua dengan kadar pertukaran yang rendah.
Hal ini kerana Maybank merupakan rakan perbankan strategik serta bank penaja dan penyelesaian bagi fasa kedua inisiatif pembayaran respons pantas (QR) rentas sempadan antara Malaysia dan Kemboja, yang dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan National Bank of Cambodia (NBC).
Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan perbankan tersebut berkata kerjasama itu mengukuhkan komitmennya dalam memperkasa keterangkuman kewangan di rantau ini sambil menyokong usaha BNM dan NBC bagi merangsang pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli berkata kejayaan pelaksanaan inisiatif itu merupakan hasil daripada bimbingan BNM dan NBC serta kerjasama erat antara pemain industri termasuk Bakong, Payments Network Malaysia (PayNet) dan Maybank.
"Lebih sembilan juta pengguna Aplikasi MAE kini boleh membuat pembayaran QR rentas sempadan dengan mudah dan selesa, bukan sahaja di Kemboja, malah di pasaran utama kami seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan China.
"Inisiatif ini menegaskan komitmen kami untuk meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti kewangan serantau, ke arah mewujudkan pasaran yang lebih terhubung dan dinamik,” katanya.
Pada 2024, Khairussaleh berkata Maybank mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 83 peratus dalam jumlah nilai transaksi melalui pembayaran QR berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan keyakinan dan kesediaan pelanggan untuk menerima pembayaran digital.
Dengan Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, Maybank kekal komited untuk memainkan peranan aktif dalam merapatkan ekosistem kewangan serantau serta memacu pemerkasaan dan keterangkuman kewangan untuk pelanggannya.
-- BERNAMA