Setiap kali teringat saat nama anak perempuannya dipanggil untuk naik ke pentas bagi menerima anugerah pelajar terbaik di sekolah, Mazlan (bukan nama sebenar) akan terasa jantungnya bagai ditusuk.
Saat itu paling membanggakan dan juga menyedihkan baginya.
“Apabila namanya disebut, ‘binti’ diikuti dengan Abdullah, bukan nama saya,” katanya. “Saya rasa agak sedih… bukan sekadar rasa, memang sangat sedih.”
Di Malaysia, dalam kalangan umat Islam, resamnya anak-anak yang dianggap tidak sah taraf atau lahir di luar perkahwinan akan “berbintikan” Abdullah (bermakna hamba Allah dalam bahasa Arab) atau yang setara, dalam sijil kelahiran.
Alasan yang diberikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada Mazlan yang berada di Sabah ketika dia berkahwin namun kini menetap di Selangor bersama-sama dengan keluarganya, ialah dia tidak memiliki surat perakuan nikah yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. Tanpa sijil nikah yang sah, maka perkahwinan itu tidak diiktiraf.
Di Malaysia, perkahwinan sah adalah faktor yang menentukan pewarisan kerakyatan atau harta, bukan pertalian darah. Akan tetapi, untuk mendapatkan pengesahan perkahwinan juga bukan mudah disebabkan oleh kerenah birokrasi.
Mazlan dan isterinya yang tidak berkerakyatan, cuba beberapa kali mendapatkan pengesahan perkahwinan mereka selepas bernikah di sebuah masjid, namun usaha itu gagal disebabkan oleh isterinya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Status isterinya itu juga bermakna anak-anak mereka “tidak bernegara”.
Dalam tempoh 16 tahun lalu, Mazlan dan isterinya, 35, berusaha memohon kerakyatan untuk anak-anak mereka, namun setakat ini belum berhasil.
PENDUDUK TANPA KERAKYATAN
Perlembagaan Persekutuan menetapkan prinsip jus soli (hak berdasarkan tempat lahir) dan jus sanguinis (hak berdasarkan darah keturunan) serta kelahiran yang sah bagi tujuan menentukan kewarganegaraan, selain perlindungan kepada anak-anak yang ditinggalkan serta mereka yang tidak mempunyai kerakyatan.
Dalam beberapa tahun belakangan ini, terdapat peningkatan kes berkaitan kewarganegaraan di mahkamah dengan sebahagiannya dibawa oleh individu tanpa kerakyatan terhadap kerajaan atas dakwaan melanggar hak perlembagaan mereka. Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menganggarkan terdapat sekitar 300,000 penduduk tidak bernegara di Malaysia dan angka itu meningkat di setiap generasi. Golongan ini tidak boleh mendaftar untuk belajar di sekolah, mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, membuka akaun bank atau bergerak bebas. Tanpa dokumen pengenalan diri, masa depan mereka kekal tidak menentu.
Wanita Malaysia yang melahirkan anak di luar negara turut menuntut hak untuk mewariskan kewarganegaraan mereka kepada anak. Pada 17 Okt 2024, Dewan Rakyat meluluskan beberapa pindaan pada Perlembagaan Persekutuan yang meluaskan dan juga mengurangkan hak kewarganegaraan. Pindaan-pindaan ini termasuk pemberian hak yang sama kepada ibu Malaysia yang berkahwin, namun menghapuskan hak kewarganegaraan bagi anak kepada pemastautin tetap, serta menurunkan had umur permohonan kewarganegaraan daripada 21 kepada 18 tahun.
Setakat 10 April 2025, pindaan-pindaan ini masih belum dikuatkuasakan.
Walaupun prinsip jus soli termaktub dalam perlembagaan, kerajaan berulang kali menegaskan bahawa perkahwinan yang sah lebih penting berbanding ujian DNA, serta menyatakan bahawa ujian genetik hanya boleh menyokong dakwaan pertalian darah, tetapi tidak menjamin secara muktamad manfaat yang datang bersama-sama dengan pertalian darah itu.
pic-2
“Islam ialah agama Persekutuan dan kita menjunjung tinggi nilai-nilai ketimuran serta tradisi kita. Jika kita mengabaikan keperluan perkahwinan dan hanya bergantung pada DNA, masa depan generasi kita akan terancam,” Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata di Dewan Rakyat pada 17 Okt 2024.
Pakar undang-undang harta pusaka, Penolong Profesor Dr Wan Noraini Mohd Salim daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberitahu Bernama bahawa pengawalseliaan perkahwinan adalah sesuatu yang penting. Selain daripada kewarganegaraan, perkahwinan juga memberi kesan terhadap nafkah, hak mewarisi dan pemilikan harta.
“Di Malaysia, mesti ada satu badan (yang memastikan) perkahwinan dilakukan mengikut prosedur yang betul. Jika prosedur itu tidak betul, kita tidak boleh kata perkahwinan tersebut sah,” katanya.
“Kita ada undang-undang yang memperuntukkan setiap perkahwinan (di luar atau dalam negara) mesti didaftarkan. Tujuan undang-undang ini umumnya untuk melindungi hak semua warganegara.”
Akan tetapi, aspek ini dilihat menzalimi mereka yang tidak bernegara. Jika hak rakyat Malaysia yang berkahwin secara sah, khususnya wanita, dilindungi, misalnya nafkah anak, keistimewaan ini tidak dinikmati oleh wanita tanpa kerakyatan. Status itu menghalang mereka daripada menikmati hak asasi, iaitu berkahwin dan membina keluarga.
Pada masa sama, anak-anak orang Islam yang lahir dalam tempoh kurang daripada enam bulan dari tarikh nikah kedua ibu bapanya, dianggap “anak tidak sah taraf”, justeru tidak boleh dibin atau bintikan dengan nama ayah kandung.
Situasi itu berbeza dengan anak-anak bukan Islam yang dianggap “anak sah” selagi kedua ibu bapa kandungnya berkahwin menurut undang-undang di kemudian hari dan si bapa memperakui anak tersebut.
Namun begitu, hal ini tidak menjejaskan status kerakyatan, kerana Mahkamah Persekutuan pada 2022 telah memutuskan dengan majoriti 4-3 dalam kes “CTEB dan Lain-lain lwn. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Malaysia dan Lain-lain” bahawa seorang anak yang tidak sah taraf semasa lahir mesti memenuhi keperluan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan dan kesahan.
DNA TIDAK BEGITU BERMAKNA DI SISI UNDANG-UNDANG
Walaupun sains moden membolehkan kita mengesan salasilah keturunan, menentukan ibu bapa kandung dan juga meramal penyakit keturunan, bukti DNA umumnya masih tidak diambil kira dari segi pengenalpastian ibu bapa dalam undang-undang Malaysia.
Peguam Agalya J. Munusamy yang pakar dalam kes kewarganegaraan dan lain-lain, memberitahu Bernama bahawa undang-undang kewarganegaraan di Malaysia sering menghukum anak atas kesilapan atau nasib malang ibu bapa mereka.
Beliau turut menyuarakan harapan agar Malaysia mencontohi negara jiran seperti Indonesia dan Filipina yang memberi kerakyatan kepada mana-mana anak yang ibu atau bapanya merupakan warga negara itu tanpa mengira status perkahwinan.
pic-3
“Dalam tafsiran saya terhadap Perlembagaan Persekutuan, memang sepatutnya begitu. Tapi entah macam mana institusi perkahwinan tiba-tiba dijadikan isu dalam menentukan kewarganegaraan, dan saya secara peribadi tidak bersetuju dengan perkara itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor.
“Saya faham perkahwinan itu penting, mungkin dapat beri imej yang baik kepada negara. Akan tetapi, anda tidak boleh nafikan hak asasi seorang kanak-kanak untuk mendapatkan kerakyatan hanya kerana ibu bapanya tidak berkahwin.”
Tambahnya lagi, mahkamah tidak boleh memaksa sesiapa untuk menjalani ujian DNA di Malaysia kecuali dalam kes jenayah. Agalya berkata dalam kes melibatkan pegawai JPN meminta ibu bapa memberikan sampel DNA untuk mengesahkan pertalian dengan anak, pemalsuan rekod secara teknikalnya adalah satu jenayah.
Baru-baru ini dilaporkan ramai ibu bapa didakwa membayar wang kepada sindiket untuk memalsukan sijil kelahiran anak angkat mereka. Isu itu sedang disiasat oleh JPN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Apapun kata Agalya, beliau mengesyorkan semua anak guamnya yang mahu mendapatkan kerakyatan untuk anak mereka atau diri sendiri agar melakukan ujian DNA sebagai langkah berjaga-jaga. Ada kes yang menyaksikan DNA menjadi bukti penting yang akhirnya memberikan kerakyatan kepada individu yang sebelum ini tidak bernegara.
Satu daripada kes itu melibatkan Sankar, 44, yang menolak untuk ditemu bual bagi artikel ini. Dia ditinggalkan semasa kecil dan tidak mempunyai sijil kelahiran, menjadikannya individu tidak bernegara. Sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan, Pembangunan Sumber Manusia Kawasan Luar Bandar (DHRRA) Malaysia berjaya menemukan ibu kandungnya yang merupakan warganegara Malaysia dengan bantuan JPN pada 2021. Wanita itu bersetuju memberikan sampel DNA dan ujian tersebut membuktikan bahawa Sankar ialah anak kandungnya, dan oleh itu merupakan warganegara Malaysia.
Dari segi mewarisi harta pusaka, DNA turut memainkan peranannya namun ia tidak menjamin kejayaan, kata Wan Noraini daripada UIAM.
“Undang-undang menyatakan secara khusus. Untuk mewarisi mesti ada pertalian darah, sebab itu DNA menjadi satu daripada elemen yang digunakan untuk menentukan aspek tersebut,” katanya. Kaedah agihan harta dan juga amaun yang bakal diterima bagaimanapun bergantung pada agama.
Menurut kaedah faraid di bawah undang-undang Islam, anak yang lahir di luar perkahwinan tidak layak mewarisi harta peninggalan bapanya, namun si ayah, semasa hayatnya, boleh memberikan harta tersebut sebagai hadiah kepada anak berkenaan dengan syarat tidak menjejaskan adik-beradik lain yang sah taraf.
Anak angkat pula berhak ke atas satu pertiga daripada harta ibu bapa angkat mereka, tetapi melalui wasiat.
Bagi anak bukan Islam, anak luar nikah boleh mewarisi harta jika mereka “disahkan” atau disebut dalam wasiat si bapa. Anak-anak luar nikah, tanpa mengira agama, boleh mewarisi harta peninggalan ibu.
Bagaimanapun, situasi ini hanya boleh dilaksanakan menurut undang-undang sekiranya tidak ada pihak yang tidak bernegara terlibat.
Dalam kes Mazlan dan anak-anaknya, Wan Noraini berkata dari segi teknikalnya, si anak boleh mewarisi harta Mazlan sekiranya dia meninggal dunia, kerana mereka dianggap anak sah taraf menurut Islam.
“Satu daripada asas yang melayakkan seseorang untuk mewarisi ialah hubungan darah. Jika ini disahkan, maka orang yang tidak bernegara masih boleh mewarisi harta pusaka. (Namun) masalah mungkin timbul apabila dia hendak mendaftarkan nama di atas geran tanah (yang diwarisi itu),” jelasnya.
pic-4
SINAR BAHARU
Namun begitu, masih ada sinar harapan. Keputusan mahkamah baru-baru ini dan usaha pertubuhan masyarakat sivil telah membawa isu kewarganegaraan dan kisah-kisah seperti Mazlan ke perhatian umum.
Satu keputusan bersejarah oleh mahkamah setahun lalu, memberi harapan baharu kepada Mazlan dan mereka yang senasib dengannya. Pada 20 Mei 2024, Mahkamah Tinggi Taiping memutuskan bahawa individu tidak bernegara mempunyai hak untuk berkahwin dan bahawa JPN harus mendaftarkan perkahwinan yang melibatkan individu tidak bernegara tanpa mengira statusnya. Hakim juga menyatakan dalam penghakimannya yang dikeluarkan pada 8 Julai tahun lalu, bahawa Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 tidak mewajibkan kad pengenalan sebelum sesuatu perkahwinan boleh disahkan dan didaftarkan.
Kerajaan sedang merayu terhadap keputusan tersebut.
Agalya berharap keputusan itu dikekalkan, memandangkan situasi itu adalah satu perkembangan yang positif bagi Malaysia kerana akan membolehkan kerajaan menjejaki semua perkahwinan dan perceraian yang berlaku dalam negara serta status anak-anak yang dilahirkan.
“Alasan penghakiman itu menyentuh akar permasalahan, iaitu kenapa anda menafikan hak individu tidak bernegara untuk mendaftarkan apa-apa juga perkara? Harapan peribadi saya ialah agar penghakiman ini tidak diganggu,” katanya.
Bagi Mazlan pula, dia berharap kesnya atau kes orang lain dapat memperkukuh keputusan tersebut, walaupun ia berdasarkan Akta 1976 yang berkaitan dengan bukan Islam. Dia mahu keputusan itu terpakai kepada semua, tanpa mengira agama. Namun, keputusan itu tidak menyelesaikan semua masalah keluarganya.
"Kalau kami boleh daftarkan perkahwinan kami, kami boleh mohon kewarganegaraan untuk anak. Akan tetapi kami kena mohon kebenaran khas untuk ke Sabah bagi mendaftar (perkahwinan). Pasangan saya penduduk tanpa kerakyatan dari Sabah. Jika anda tidak bernegara, bukan mudah untuk anda ke sana sini," katanya.
Buat masa ini, dia memilih untuk terus berharap dan mengimpikan hari dia dapat mendengar nama anak perempuannya dipanggil oleh guru lengkap “berbintikan Mazlan”.