KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Situasi banjir di Sabah dan Johor menunjukkan pemulihan apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), berkurangan petang ini.
Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan, hanya 203 mangsa daripada 67 keluarga berlindung di dua PPS di daerah Beaufort dan Keningau, setelah tiga PPS di Nabawan dan Sook ditutup sepenuhnya petang ini.
“Di Beaufort, seramai 127 mangsa daripada 46 keluarga masih berada di satu PPS, manakala di Keningau (76 mangsa, 21 keluarga, satu PPS). Sebanyak lapan kampung masih terjejas banjir iaitu enam di Beaufort dan dua kampung di Keningau,” katanya.
Di JOHOR, situasi banjir turut menunjukkan pemulihan apabila hanya 56 mangsa daripada 17 keluarga ditempatkan di dua PPS di Segamat iaitu PPS Balai Raya Kampung Batu Badak dan Dewan Komuniti Kampung Tasek berbanding 106 mangsa daripada 34 keluarga, pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata ini berikutan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading di Batu Pahat yang menempatkan 50 mangsa daripada 17 keluarga, ditutup 2 petang tadi.
“Keadaan cuaca yang dilaporkan sehingga 4 petang ini menunjukkan tiga daerah hujan iaitu Johor Bahru, Pontian dan Kota Tinggi, manakala lain-lain daerah cerah.
“Dua lokasi sungai di daerah Segamat dilaporkan berada pada paras amaran iaitu Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam dengan bacaan 3.60 meter dan Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 8.62 meter,” katanya dalam kenyataan.
-- BERNAMA