AM

TANAH PERKUBURAN ISLAM BERPUSAT DI SUNGAI DUA DIJANGKA BEROPERASI OKTOBER - MOHAMAD

15/04/2025 09:51 PM

BUTTERWORTH, 15 April (Bernama) -- Tanah bendang seluas 2.2 hektar di Sungai Dua di sini yang diambil alih bagi dijadikan tanah perkuburan Islam berpusat dijangka dapat digunakan pada Oktober depan.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata kerja menambun fasa pertama tanah itu akan dimulakan bulan depan dan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan.

Beliau berkata pengambilan tanah itu diluluskan oleh Jawatankuasa Tanah Negeri (JKTN) pada 2022 dengan anggaran kos RM7.06 juta seperti dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menggunakan peruntukan Bajet 2024.

“Bagi tambak keseluruhan kawasan ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) menganggarkan kos RM2.2 juta diperlukan. Namun untuk fasa pertama, RM500,000 diperlukan kerana melibatkan tanah seluas 0.6 hektar. 

“Bagaimanapun kos tambahan RM200,000 diperlukan kerana kita akan tambun tanah di bahagian belakang dahulu, jadi perlu dibuat jalan menjadikan jumlah keseluruhan kos bagi fasa pertama ini adalah RM700,000,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Kerja-kerja Menambun Tanah Perkuburan Islam Berpusat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Sungai Dua, di sini hari ini.

Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memaklumkan tanah berkenaan merupakan tanah milikan individu dan telah diwartakan secara rasmi sebagai tanah perkuburan berpusat daerah SPU pada 2 Jan lepas bagi memenuhi keperluan penduduk setempat. 

“Pembangunan tanah perkuburan itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan dan baki tanah boleh dioptimumkan untuk tujuan pembangunan lain yang memberi manfaat kepada komuniti sekiranya fasa pertama sudah mencukupi,” katanya.

Mohamad berkata selain memberi kelegaan kepada penduduk setempat yang sebelum ini terpaksa menguruskan pengebumian di lokasi yang lebih jauh, pengubahan fungsi tanah bendang juga langkah penyelarasan dalam menguruskan kawasan tanah perkuburan Islam agar lebih sistematik dan efisien.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan