BUKIT MERTAJAM, 22 Mac (Bernama) -- Sekolah Islam Antarabangsa Al Mashoor bakal menjadi sekolah Islam antarabangsa pertama di Pulau Pinang yang dibangunkan sebagai langkah strategik memperkukuh institusi pendidikan Islam di negeri itu
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata penubuhan sekolah berkenaan adalah hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MAINPP, Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Al Hamra Integrated School.
“Kerjasama itu juga membawa manfaat besar dalam melengkapkan ekosistem pendidikan Islam di Pulau Pinang khususnya dalam menyediakan peluang pendidikan berkualiti kepada golongan Muslim profesional dan komuniti ekspatriat yang menetap di negeri ini," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Jamaie Guru-Guru Takmir Pulau Pinang dan pelancaran Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) MAINPP di sebuah hotel, di sini hari ini.
Menyasarkan lebih 600 pelajar, Mohamad berkata sekolah berkenaan dibangunkan di atas tapak Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Al Manshoor di Pulau Tikus dengan peruntukan RM11.8 juta dan dijangka siap Jun ini sebelum beroperasi pada September.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri menerusi MAINPP menaja RM1 juta untuk Projek Nur Al-Yateem di bawah badan bukan kerajaan (NGO) Kedamaian Kemanusian Berhad (KKB) yang menumpukan kepada penjagaan dan kebajikan anak-anak yatim di Gaza.
“Projek itu bertujuan menyediakan bantuan kewangan bulanan kepada 500 orang anak yatim di Gaza merangkumi keperluan asas seperti makanan, pakaian, pendidikan, tempat tinggal serta sokongan kesihatan dan psikososial.
“Kos tajaan bagi setiap anak yatim adalah sebanyak RM250 sebulan atau RM3,000 setahun, menjadikan jumlah keseluruhan projek itu RM1.5 juta dengan MAINPP menaja RM1 juta manakala selebihnya menerusi kutipan derma di 50 buah masjid di negeri ini serta pihak korporat,” katanya.
Beliau berkata projek itu diharap dapat memberikan impak besar kepada kesejahteraan anak-anak yatim yang terkesan akibat peperangan dan sekatan yang berpanjangan.
Menurutnya lagi, selain bantuan material, projek itu juga merangkumi kelas halaqah al-Quran, sesi kaunseling dan program bimbingan akademik.
-- BERNAMA