AM

CABARAN EKSTREM PASUKAN BOMBA DALAM MISI SAR DI PEDALAMAN MARUDI

15/04/2025 10:36 PM

Oleh Ibrahim Mahsen

SIBU, 15 April (Bernama) -- Perjalanan jauh merentasi jalan balak yang licin, mengharungi sungai deras serta berjalan kaki, antara cabaran utama perlu ditempuh pasukan bomba dan penyelamat dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan pedalaman daerah Marudi, di Miri.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi Nasir Razali berkata setiap misi SAR memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi kerana laluan ke lokasi operasi sering melibatkan kawasan yang sukar diakses.

“Jalan balak bertanah kuning akan menjadi becak dan licin apabila hujan, menyukarkan pergerakan. Namun, kami tetap teruskan perjalanan demi menyelamatkan nyawa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nasir turut berkongsi bahawa kawasan seperti Lio Mato, Long San dan beberapa lokasi lain, antara laluan paling mencabar yang pernah dilalui pasukan SAR sebelum ini.

Hari ini, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Marudi memulakan perjalanan seawal 5.30 pagi ke Sungai Sengayan, Long Jekitan, Baram bagi mencari Dawellies Luing, 46, petugas SK Jekitan yang hilang selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya dihanyutkan arus deras semasa menyeberangi sungai berkenaan pada Isnin.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan SAR tiba di lokasi pada 3 petang dan terus memulakan operasi bersama agensi kerajaan lain serta penduduk kampung namun mangsa belum ditemukan.

Turut hadir di lokasi ialah Ahli Parlimen Baram Datuk Anyi Ngau bersama empat pekerjanya. 

Pada 4 petang, pasukan SAR bergerak ke kediaman keluarga mangsa di Long Tikan sejauh kira-kira 15 kilometer dari lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sejam kemudian. Operasi disambung semula esok.

Semasa kejadian, Dawellies menaiki kenderaan berkenaan bersama anak perempuannya, Vallerie Mentie, 9.

Vallerie ditemukan lemas kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada semalam oleh penduduk kampung dan jenazahnya telah dibawa pulang ke rumah keluarga. 

Nasir yang berpengalaman lebih tiga dekad bersama JBPM turut memberitahu bahawa kawasan paling mencabar pernah dilaluinya dalam operasi SAR ialah di Mulu dan Ulu Baram.

Beliau memulakan kerjaya di BBP Marudi pada 1995 dan pernah berkhidmat di JBPM Miri dan JBPM Sabah sebelum kembali ke BBP Marudi pada 2023.

“Walaupun sudah biasa menghadapi cabaran jalan balak dan sungai, keselamatan anggota tetap menjadi keutamaan. Kenderaan perlu diselenggara dengan baik, dan tekanan angin tayar sentiasa dipantau agar tidak tergelincir di laluan licin,” katanya.

Selain operasi SAR, Nasir turut terlibat dalam pelbagai program jabatan, termasuk latihan pasukan bomba sukarela serta aktiviti bersama agensi kerajaan lain di kawasan pedalaman.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan