BUKIT MERTAJAM, 16 April (Bernama) -- Wanita warga emas mengalami kerugian RM764,511.17 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian atau phone scam di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah SPT ACP Helmi Aris berkata pihaknya menerima laporan daripada wanita tempatan berusia 73 tahun itu yang juga seorang pesara pada Isnin lepas bahawa dia telah diperdaya selepas menerima panggilan telefon pada 18 Feb lepas.
“Mangsa menerima panggilan telefon pada 9 pagi, 18 Feb lepas ketika berada di rumahnya daripada nombor telefon tidak dikenali dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Pahang memaklumkan dia terlibat dalam satu kes pengubahan wang haram serta pelbagai kes bersangkut jenayah.
“Suspek memberitahu akan menangkap wanita tesebut atas kesalahan-kesalahan berkenaan, namun beliau juga memaklumkan boleh membantu mangsa untuk menyelesaikan serta memadamkan rekod kesalahannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Helmi berkata suspek kemudiannya meminta mangsa memberikan maklumat perbankan bagi tujuan semakan ke atas status kes pengubahan wang haram tersebut dan warga emas itu memberi butiran akaun miliknya kepada suspek.
“Mangsa telah menerima beberapa mesej pengesahan OTP dan suspek meminta mangsa membuat pengesahan dipercayai untuk melakukan transaksi pemindahan wang secara dalam talian.
“Mangsa mula curiga apabila sehingga bulan ini, suspek masih lagi menghubunginya dan turut menyemak penyata bank miliknya sebelum mendapati terdapat 59 transaksi pindahan wang ke enam akaun berbeza tanpa pengetahuan,” katanya.
Menurut Helmi, mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Helmi turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan dalam talian dan peka apabila menerima panggilan serta tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada individu atau pihak tidak dikenali.
-- BERNAMA