DUNIA

TUN ABDULLAH: PEMIMPIN BERJIWA KOLEKTIF DALAM ARENA DIPLOMASI ANTARABANGSA

16/04/2025 02:41 PM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja dikenang sebagai seorang negarawan yang menekankan pembangunan modal insan sebagai tonggak pembinaan negara, malah turut meninggalkan legasi yang kukuh dalam memperkasakan dasar luar dan diplomasi Malaysia di persada antarabangsa.

Sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah memainkan peranan penting dalam mengangkat martabat negara di peringkat serantau dan global.

Profesor Adjung Hal Ehwal Serantau dan Global Universiti Malaya, Datuk Ilango Karuppannan menyifatkan kepimpinan Tun Abdullah berlandaskan diplomasi yang tenang, penuh hikmah serta berpandangan jauh.

Antara pencapaian paling bermakna ketika era kepimpinan beliau ialah kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2005 dalam memimpin usaha mewujudkan Piagam ASEAN — sebuah dokumen sah dari segi undang-undang yang bertujuan memperkukuh proses pembinaan komuniti ASEAN serta memperluas peranannya dalam rantau ini.

Piagam itu mula berkuat kuasa pada 15 Dis 2008.

Ilango, yang ketika itu merupakan pegawai kanan di Kementerian Luar Negeri semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN, turut mengimbas detik bersejarah negara menganjurkan Sidang Kemuncak Asia Timur (East Asia Summit) yang pertama pada 14 Dis 2005.

Sidang itu menyatukan tiga daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) — China, Rusia dan Amerika Syarikat — di meja rundingan yang sama, sekali gus membuka lembaran baharu dalam diplomasi serantau.

“Kepimpinan Tun Abdullah dalam hubungan antarabangsa amat cemerlang,” kata Ilango yang juga bekas diplomat dan pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Singapura serta Duta Besar ke Lubnan.

Beliau berkata bahawa Tun Abdullah berjaya mengubah pendekatan dasar luar Malaysia daripada bernada keras kepada diplomasi yang lebih rasional dan praktikal, yang membantu memperbaiki hubungan Malaysia dengan negara seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Australia.

Tempoh perkhidmatan Tun Abdullah sebagai Menteri Luar dari 1991 hingga 1999 pula berlangsung ketika dunia menyaksikan pelbagai peristiwa besar yang mengubah landskap geopolitik antarabangsa — termasuk kejatuhan Kesatuan Soviet, Perang Teluk, konflik di Bosnia serta kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi global.

Tempoh itu juga menyaksikan peralihan dalam dasar luar Malaysia untuk memperjuangkan kerjasama selatan-selatan, menjalin kerjasama yang lebih erat dengan negara membangun serta pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Kumpulan 77 (G77).

“Beliau seorang Menteri Luar yang unggul. Malaysia dianggap pemain penting kerana pendekatan beliau yang bertimbang rasa dan berhikmah.

“Secara peribadi, saya anggap beliau sebagai seorang diplomat teladan. Saya berkembang di bawah kepimpinan beliau — mula sebagai Menteri Luar, kemudian Perdana Menteri. Bagi saya, beliau antara pemimpin terhebat negara,” kata Ilango.

Sementara itu, bekas diplomat kanan dan bekas Pengerusi Eksekutif Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Tan Sri Hasmy Agam menyifatkan Tun Abdullah sebagai seorang lelaki yang budiman dan pemimpin berjiwa kolektif.

Mengimbas kenangan ketika bertugas sebagai Duta Besar dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York, Hasmy mendedahkan keperibadian mulia Allahyarham Tun Abdullah.

Hasmy berkata beliau pernah menerima bantal leher sebagai hadiah daripada Tun Abdullah ketika dalam perjalanan pulang ke Lapangan Terbang JFK selepas menghadiri Perhimpunan Agung PBB.

“Saya terkejut dan kemudian dimaklumkan bahawa isterinya (Allahyarham Tun Endon) telah memberitahu beliau mengenai sakit leher dan belakang yang saya alami waktu itu.

“Itulah Tun — seorang yang prihatin dan mengambil berat tentang kebajikan pegawai-pegawainya. Sentiasa bersikap belas kasihan dan mesra,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Hasmy berkata hubungan beliau dengan Tun Abdullah terjalin sejak awal kerjaya apabila Tun masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

“Ketika itu beliau sudah pun memegang jawatan tinggi dan saya masih junior.

“Hubungan itu terus berpanjangan walaupun beliau kemudian menyertai politik dan menjadi pemimpin negara.

“Beliau tidak pernah bersifat autokratik. Mungkin kerana beliau sendiri pernah berkhidmat sebagai penjawat awam, maka beliau benar-benar memahami sistem dan memimpin secara kolektif.

“Adalah satu penghormatan besar dapat berkhidmat di bawah kepimpinan beliau,” katanya.

Hasmy turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham atas pemergian tokoh besar negara itu.

Tun Abdullah, yang mesra dikenali sebagai Pak Lah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada petang Isnin dan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Selasa.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan