JENAYAH & MAHKAMAH

TANAH NCR DI SARAWAK TIDAK AKAN DISUKAT JIKA TERLIBAT PERTIKAIAN MAHKAMAH

16/04/2025 02:54 PM

SIBU, 16 April (Bernama) -- Sebarang kerja pengukuran tanah hak adat bumiputera (NCR) tidak akan dilaksanakan sekiranya tanah tersebut sedang terlibat dalam pertikaian atau perbicaraan di mahkamah, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, kerja-kerja pengukuran hanya akan diteruskan selepas kes-kes berkaitan ditarik balik daripada mahkamah.

“Jadi selesaikan dengan cara yang baik dan berhemah. Setelah itu sekiranya mahu menyertai Program Pengukuran Tanah NCR ini semula, permohonan baharu perlulah dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Survei,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) bagi Bahagian Sibu di sini hari ini.

Awang Tengah turut menegaskan bahawa kerja pengukuran hanya dilakukan setelah mendapat persetujuan daripada semua penuntut tanah yang terlibat, dan sekiranya ada penuntut yang tidak bersetuju, kerja pengukuran tidak akan dijalankan.

Beliau juga mengingatkan bahawa tuntutan ke atas tanah NCR perlu disertakan bukti dan berdasarkan perundangan yang sah.

“Penuntut tanah perlu mengemukakan bukti bahawa tanah NCR itu adalah milik mereka, dan ini akan dibandingkan dengan rekod kerajaan. Jika terdapat pertindihan tuntutan, perundingan akan diadakan sehingga mencapai kesepakatan,” katanya.

Sehingga 28 Feb lepas, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah berjaya menyukat secara perimeter kira-kira 1,192,269 hektar tanah NCR di seluruh Sarawak, dan daripada jumlah itu 935,760 hektar telah didaftar dan diwartakan di bawah Seksyen 6 KTN sebagai Rizab Komunal Bumiputera.

Selain itu 98,340 lot individu melibatkan kawasan seluas 117,051 hektar telah diukur di bawah Seksyen 18 KTN, dengan 32,185 lot membabitkan keluasan 45,000 hektar telah dikeluarkan surat hak milik.

Dalam majlis hari ini Awang Tengah menyampaikan 38 surat hak milik tanah kepada 26 pemilik dari kawasan Igu/Tamin di Selangau dan 119 surat hak milik kepada 107 pemilik dari kawasan Pasai Siong, Blok 20 dan 21, Sibu.

Sebanyak RM2,254,749.87 disampaikan sebagai pampasan kepada 103 penerima yang tanah mereka terlibat dalam projek Talian Penghantaran 500KV Baleh-Mapai (Sibu/Kapit).

Selain itu 53 pemilik tanah menerima pampasan RM1,101,472.50 bagi projek membina jalan ke Rumah Jingga/David Multifarm/Rumah Seli/Rumah Guang dan SK Singat di Sungai Lengan, Sibu.

Seramai 209 pemilik tanah turut menerima pampasan berjumlah RM3,435,358.20 susulan pengambilan tanah bagi Projek Pemasangan Saluran Paip Air Mentah untuk menaik taraf Loji Salim daripada 50 juta liter sehari (MLD) kepada 300MLD.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan