DUNIA

TIMBALAN PM SINGAPURA, TOKOH ASING TANDATANGANI NOTA TAKZIAH TUN ABDULLAH

16/04/2025 04:49 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

(menggantikan "Pesuruhjaya" kepada "Suruhanjaya" pada intro dan mengolah semula intro)

SINGAPURA, 16 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong, pada Rabu menandatangani nota takziah atas pemergian bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian, adalah antara beberapa pemimpin Singapura dan luar negara yang meluangkan masa untuk menulis pesanan ikhlas mengenang perdana menteri kelima Malaysia itu, yang meninggal dunia pada Isnin.

Antara yang turut memberi penghormatan ialah bekas perdana menteri Singapura, Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong; bekas timbalan perdana menteri dan menteri luar Prof. S. Jayakumar; bekas timbalan perdana menteri Wong Kan Seng; serta Pesuruhjaya Tinggi dan Duta Besar asing yang berkhidmat di republik itu.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, berkata para pemimpin berkenaan - sebahagiannya mempunyai kenangan manis bersama Abdullah - menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat dan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan Malaysia-Singapura.

“TPM Gan menyatakan bahawa Tun memainkan peranan besar dalam hubungan Malaysia-Singapura.

“Profesor Jayakumar pula berkongsi pengalaman berurusan dengan Tun ketika mereka sama-sama menjadi menteri luar.

“Beliau berkata Tun seorang yang lemah lembut dan diplomatik, yang membantu memudahkan perbincangan serta penyelesaian pelbagai isu tertunggak antara Malaysia dan Singapura,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pesuruhjaya Tinggi pada Rabu.

Azfar, mewakili kakitangan Pesuruhjaya Tinggi, turut menyampaikan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Rakyat Malaysia yang menetap di Singapura turut hadir menyampaikan penghormatan terakhir, termasuk individu yang bekerja di Singapura serta wakil persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan Malaysia.

Abdullah, yang lebih dikenali sebagai “Pak Lah”, meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada Isnin. Beliau disemadikan di Makam Pahlawan pada Selasa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan