SIBU, 16 April (Bernama) -- Seorang suri rumah kerugian RM108,040 selepas terperdaya dengan iklan tawaran jualan kenderaan pacuan empat roda secara dalam talian hujung bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata wanita berusia lingkungan 30-an itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu semalam selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Beliau berkata pada 26 Mac lepas, mangsa tertarik dengan satu iklan jualan menerusi Facebook menawarkan kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo pada harga RM29,600.
“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp dan individu itu memaklumkan untuk mempercepat proses pembelian, mangsa perlu membuat beberapa bayaran termasuk bayaran pendahuluan, bayaran mahkamah dan bayaran cukai ke dalam akaun bank diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata mangsa telah melakukan 32 transaksi wang pada 27 Mac ke dalam 10 akaun bank tempatan berjumlah keseluruhan RM108,040.
“Selepas bayaran dibuat, suspek memberikan pelbagai alasan berkaitan penghantaran kenderaan itu. Menyedari telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
-- BERNAMA