JOHOR BAHRU, 15 April (Bernama) -- Seorang pengurus syarikat direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan melibatkan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM110,000.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurmadiana Mamat di susulan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.
Menurut sumber, suspek ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 8 malam tadi.
Tangkapan dibuat kerana suspek telah mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu ke Jabatan Perikanan Negeri Johor berkaitan kerja membekal, menghantar dan mentauliah peralatan sokongan kepada penerima bantuan bernilai lebih RM110,000.
Bagaimanapun, pembekalan barangan berkenaan tidak dilaksanakan dengan sempurna.
-- BERNAMA