KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menyeru umat Islam menjadikan Syawal ini sebagai permulaan baharu untuk lebih berani menolak segala bentuk salah laku.
Azam berkata demikian menerusi video di akaun TikTok rasmi SPRM selain turut mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua umat Islam.
“Alhamdulillah, setelah sebulan kita berpuasa kini tiba masanya untuk meraikan Syawal dengan penuh kesyukuran. Di kesempatan ini suka saya untuk berkongsi pandangan dan nasihat untuk sama-sama kita hayati.
“Hari raya bukan sekadar perayaan tetapi juga masa untuk kita merenung dan memperbaiki diri kita, jika Ramadan mengajar kita erti keihklasan dan ketahanan diri maka Syawal harus menjadi permulaan baharu untuk kita lebih berani menolak segala bentuk salah laku,” katanya.
Beliau berkata jangan biarkan kesilapan hari ini menghancurkan masa depan orang tersayang kerana kebaikan hari ini adalah hadiah terbaik untuk generasi akan datang.
-- BERNAMA