FOKUS BERNAMA

TIDAK LOKEK ILMU, TIDAK TAKUT PERSAINGAN, MAK RUSMAH COOKIES BERTAHAN LEBIH EMPAT DEKAD

17/04/2025 12:03 PM


From Balkish Awang

Mungkin kerana sikap pemurah pengasasnya Allahyarham Rusmah Makum di samping keenakan biskut raya serta kuih tradisional yang dihasilkan, Mak Rusmah Cookies yang bertapak di Kampung Baru di sini, dapat bertahan lebih empat dekad sejak ditubuhkan pada 1985.

Bermula dengan menjual kuih bangkit yang dipelajari Allahyarham dalam satu kursus yang disertainya pada awal 1980-an di Keramat, kini perusahaan itu menghasilkan pelbagai jenis biskut moden dan tradisional.

“Arwah nenek tidak lokek berkongsi ilmu dan resipi dengan pekerjanya. Malah, kebanyakan pengusaha biskut raya di sekitar Kampung Baru ini merupakan bekas pekerja Mak Rusmah Cookies,” kongsi Nur Farah Nasaruddin kepada Bernama.

Meninggal dunia tahun lalu pada usia 85 tahun akibat komplikasi buah pinggang, legasi Allahyarham kini diteruskan oleh Nur Farah, 31, yang berazam membawa jenama Mak Rusmah Cookies ke persada antarabangsa.

pic-2

Allahyarham merupakan anak jati Kampung Baru, satu-satunya perkampungan yang terletak di tengah-tengah metropolitan Kuala Lumpur ini dan dikenali sebagai “syurga makanan”. Hampir setiap lorongnya ada kedai makan, gerai atau premis menjual makanan seperti biskut dan kuih tradisional. Justeru, tidak menghairankan jika kawasan ini menjadi tumpuan masyarakat yang ingin merasai air tangan orang lama.

 

ANTARA KEDAI BISKUT RAYA TERAWAL

 

Meskipun belum lahir ketika neneknya memulakan perniagaan itu, Nur Farah kerap mendengar kisah-kisah permulaan Mak Rusmah Cookies daripada arwah.

“Arwah ada bercerita yang dia pernah menyertai satu kelas membuat kuih bangkit bersama-sama dengan bonda Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Menerusi kemahiran yang diperolehnya di kursus itu nenek memulakan perniagaan membuat kuih raya ini.

“Pada peringkat awal, nenek buat secara kecil-kecilan saja di rumah menggunakan tiga ketuhar elektrik kecil dan dibantu oleh dua orang pekerja. Ketika itu nenek buat kuih raya tiga bulan lebih awal dengan satu bulan difokuskan pada pembuatan kuih bangkit santan kerana prosesnya yang rumit.

“Selain itu, nenek juga buat sendiri inti kuih seperti jem dan sekaya, sementara tepung gandum pula disangai terlebih dahulu,” jelasnya.   

pic-3

Menurutnya, ketika perniagaan memuncak, nenek dibantu oleh tiga orang anaknya - seorang perempuan dan dua lelaki - sehingga berjaya membuka satu cawangan di Meru, Klang, Selangor yang diuruskan oleh anak lelaki bongsu arwah.

Bagaimanapun cawangan tersebut terpaksa ditutup selepas anak bongsunya itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 2013.

Menurut Nur Farah, dalam tempoh sembilan tahun selepas itu, arwah neneknya kehilangan dua lagi anaknya, iaitu anak lelaki kedua pada 2020 akibat kegagalan pelbagai organ dan dua tahun kemudian anak perempuannya yang juga anak sulung arwah, meninggal dunia kerana kanser.

“Selepas kematian kesemua tiga orang anaknya itu, nenek tetap teruskan perniagaan dan dia bekerja sehingga ke akhir hayatnya,” tambah Nur Farah.  

Bercerita lanjut tentang keistimewaan dan keunikan biskut raya dan kuih tradisional Mak Rusmah Cookies, beliau berkata arwah neneknya sangat mementingkan kualiti dan kuantiti, iaitu antara faktor mereka mempunyai sejumlah besar pelanggan tetap.

“Nenek sentiasa pesan, penuhkan balang, jangan ada ruang untuk biskut bergerak-gerak di dalam bekas.

“Jika tidak, nenek akan minta pekerja dan saya isi semula biskut… lazimnya, satu balang biskut yang kami jual mengandungi 60 biji (biskut) ke atas,” jelas beliau yang mula membantu neneknya semasa berusia awal 20-an.

Menawarkan 22 jenis biskut raya, antaranya semperit, mazola, tart nanas, almond london, makmur dan suji brunei, Nur Farah berkata biskut raya berkenaan juga merupakan pilihan utama pelanggan.

“Untuk tart nanas, ada sesetengah peniaga guna jem nanas yang ‘ready made’, tetapi kami tidak. Kami buat sendiri jem, bermula dengan memarut nanas sebelum dimasak sehingga menjadi jem. Begitu juga dengan almond london. Kami letak sebiji kacang almond pada setiap biskut, bukan sebelah,” jelasnya yang berhenti kerja di sebuah hotel pada 2022 demi meneruskan warisan Mak Rusmah Cookies.

 

HARGA KEKAL MURAH

 

Sementara itu, tatkala rata-rata peniaga menaikkan harga jualan selaras peningkatan kos bahan mentah, Mak Rusmah Cookies kekal dengan harga antara RM15 dan RM27 sebalang, bergantung pada saiz balang.

“Ketika mula-mula beroperasi, nenek jual RM12 sebalang yang mengandungi lebih 60 biji biskut. Harga memang naik sedikit setiap dua atau tiga tahun seiring kenaikan harga barang mentah, namun kami cuba pastikan harga kekal rendah dan mampu dibeli kerana pelanggan kami juga kebanyakannya pemborong,” kongsinya lagi.

pic-5

Jika dilihat pada harga pasaran semasa yang mencecah RM35 ke RM40 sebekas, sememangnya harga di Mak Rusmah Cookies jauh lebih murah. 

Jelas Nur Farah, beliau mengekalkan harga tersebut kerana tidak mahu pelanggan berasa terbeban ketika membeli selain membolehkan mereka mendapatkan pelbagai jenis biskut raya untuk menyerikan sambutan Aidilfitri.

"Saya mahu pelanggan masih boleh menikmati biskut raya dan kuih tradisional nenek tanpa rasa terbeban. Walaupun harga barang naik, saya cuba kawal kos. Saya utamakan pelanggan setia supaya kuih nenek masih kekal dan terus jadi pilihan setiap kali perayaan," katanya.

Beliau berkata pada tahun ini, Mak Rusmah Cookies menyediakan 9,000 balang biskut raya yang  dihasilkan dengan bantuan 15 orang pekerja.

Menurutnya, jualan tertinggi yang pernah direkodkan ialah 25,000 balang dalam tempoh 2011 hingga 2016.

Wanita itu mengakui beliau berasa bangga dapat meneruskan legasi arwah neneknya dan pelanggan juga kekal setia meskipun perniagaan sudah beralih tangan.

"Alhamdulilah, ramai pelanggan Mak Rusmah Cookies begitu setia dari dulu hingga sekarang, dan kebanyakan mereka dari Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Johor, Perlis serta Singapura. Selain pelanggan, pemborong juga beli daripada kedai kami," katanya.

Ditanya rahsia Mak Rusmah Cookies memikat pelanggan, Nur Farah berkata sejak kecil beliau melihat cara neneknya berinteraksi dengan pelanggan.

"Nenek ingat akan semua pelanggan yang pernah datang ke kedai. Dulu, semasa hayatnya, arwah akan duduk di kerusi depan rumah, dan apabila pelanggan datang dia akan layan mereka seperti seorang anak atau kawan. Senyuman tak pernah lekang. Insya-Allah, saya akan teruskan legasi arwah,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

pic-4

Ditanya impian pada masa depan,  Nur Farah berkata beliau berhasrat membawa jenama Mak Rusmah Cookies gah di pasaran negara selain mengekalkan penghasilan kuih tradisional agar tidak pupus ditelan zaman.

"Saya juga berharap dapat menembusi pasaran luar negara dan merancang untuk membuka kedai ini pada sepanjang masa. Ketika ini Mak Rusmah Cookies hanya beroperasi selama tiga bulan, iaitu pada musim perayaan Aidilfitri dan juga Aidiladha," katanya yang turut menguruskan perniagaan kafe Coffee.Kopi di situ.

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan