JOHOR BAHRU, 17 April (Bernama) -- Pemain industri pelancongan digesa meningkatkan perkhidmatan dalam aspek hospitaliti serta penguasaan bahasa Inggeris menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata dua aspek itu perlu diberikan penekanan agar pelancong domestik dan antarabangsa berpuas hati ketika berada di negeri berkenaan, sekali gus terus menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan pilihan.
“Dalam apa jua bidang perniagaan, kita kena pastikan perkhidmatan diberikan adalah terbaik agar pelancong tertarik untuk datang berkali-kali ke Johor. Kita tidak mahu pelancong datang sekali sahaja.
“Begitu juga dengan kebolehan berbahasa Inggeris. Ini juga merupakan satu daripada kebolehan asas yang perlu dimiliki untuk menarik kemasukan lebih banyak pelancong antarabangsa ke Johor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Townhall Tahun Melawat Johor 2026 anjuran Tourism Johor di sini hari ini.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata sebanyak 33 projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur pelancongan giat dijalankan pada tahun lepas dan tahun ini, membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM116.35 juta.
Beliau berkata kesemua projek adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menjayakan Tahun Melawat Johor 2026 yang menyasarkan 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa.
“Antara projek sedang dilaksanakan termasuk naik taraf gunung Ledang, naik taraf Zoo Johor fasa dua, pembangunan semula Kampung Sungai Melayu, pembukaan Taman Botani Diraja serta pembukaan Muzium Diraja Abu Bakar di Istana Besar Johor.
“Sudah tiba masanya kita menggerakkan sektor pelancongan negeri ini agar berada pada tahap terbaik, kerana Johor mempunyai pelbagai tarikan menarik namun tidak dipromosikan dengan baik sebelum ini,” katanya.
-- BERNAMA