KUCHING, 19 April (Bernama) – Lebih 10,000 orang menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Sarawak anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri bertempat di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini hari ini.
Majlis telah diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.
PETRA dalam kenyataan sempena majlis itu memaklumkan menerusi tema ‘Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara’, program ini bertujuan mengangkat nilai ihsan dan semangat toleransi sebagai asas kepada kesatuan dalam kepelbagaian menerusi konsep Malaysia MADANI.
Penganjuran di Sarawak yang merupakan destinasi kelima majlis itu turut menjadi wadah dan simbolik kemajmukan budaya Malaysia dalam memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Pelbagai juadah tempatan Sarawak disajikan untuk dinikmati tetamu selain persembahan menarik oleh artis tempatan.
“PETRA sebagai kementerian peneraju berharap penganjuran majlis ini menjadi medium menzahirkan aspirasi Malaysia MADANI untuk memperkukuhkan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, toleransi dan saling menghormati dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta menyemai semangat kebersamaan yang merentasi perbezaan latar belakang dan fahaman,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA