Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Lawatan Presiden China Xi Jinping meningkatkan peranan Malaysia sebagai kuasa pertengahan, disepadukan dalam rantaian bekalan Amerika Syarikat (AS) dan China, dengan peluang untuk menyesuaikan tindakan ketika ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing terus meningkat.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata lawatan itu memberi isyarat bahawa Malaysia bukan sekadar perhentian dalam naratif Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan menjadi rakan kongsi teras dalam strategi serantau Beijing.
“Malaysia -- dengan kelebihan geografi, kestabilan politik dan keterbukaan ekonomi -- jelas merupakan pusat utama. Inilah geoekonomi yang digunakan: mengukuhkan kerjasama dengan negara yang erat, mengawal kawasan yang sempit seperti Selat Melaka dan meluaskan pengaruh melalui pelaburan, bukan hanya ideologi,” katanya kepada Bernama.
Sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.
Pada 2024, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion, menyumbang 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion.
Innes berkata lawatan ini selari dengan strategi meluas China untuk Asia Tenggara memandangkan Beijing memperkukuh kestabilan di lokasi berhampirannya sebelum situasi global menjadi semakin tidak menentu.
Pemimpin China ini yang dalam lawatan selama lima hari di Asia Tenggara tiba di Malaysia pada Selasa selepas mengunjungi Vietnam dan mengakhiri lawatannya di Kemboja pada Jumaat.
Lawatan itu merupakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan terakhirnya pada 2013.
Dalam perspektif ASEAN, Innes berkata lawatan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia memandangkan bukan semua negara dalam blok ini menerima perhatian atau jumlah perjanjian sedemikian.
Ia juga memberi peluang kepada Malaysia untuk membentuk perbincangan ASEAN-China, khususnya berkaitan infrastruktur teknologi dan penstrukturan semula perdagangan serantau.
“Terdapat kuasa yang tenang tetapi berpengaruh dalam usaha menjadi negara yang dikehendaki oleh Washington dan Beijing untuk berada di pihak mereka,” katanya sambil memaklumkan antara perkara penting dalam 31 memorandum persefahaman dan perjanjian yang dimeterai melibatkan kedua-dua negara adalah naik taraf inisiatif projek ‘Two Countries, Twin Parks.’
Innes menegaskan bahawa naik taraf itu bukan sekadar simbolisme diplomatik, malah satu dasar perindustrian kukuh yang meletakkan Malaysia dalam peta pengeluaran China yang sedang berkembang, terutama ketika Beijing mencari alternatif di luar sempadannya sendiri.
“Bagi Malaysia, ini membawa maksud peluang pekerjaan untuk jangka panjang, perbelanjaan modal dan integrasi dalam rantaian nilai, di luar daripada minyak sawit dan bahan mentah,” katanya.
Ahli ekonomi Dr Geoffrey Williams pula berkata lawatan Xi ke Kemboja dan Vietnam dijangka meyakinkan berikutan kedua-dua negara ini dikenakan tarif timbal balas yang tertinggi oleh AS.
Persinggahan beliau di Malaysia selaku Pengerusi ASEAN membolehkan pelaksanaan perbincangan serantau dan dua hala mengenai implikasi tarif AS.
Menurutnya fokus ekonomi sewajarnya kekal kepada penyusunan perdagangan dan pelaburan sedia ada dan pada masa sama berusaha meredakan ketegangan AS-China dengan mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak serta memberikan isyarat mengenai keperluan mengelakkan keadaan menjadi lebih meruncing.
“Malaysia perlu meneruskan strategi kepelbagaian perdagangan dan pelaburan, satu pendekatan jangka panjang dan strategik untuk mengurangkan kebergantungan kepada AS, China dan Kesatuan Eropah.
“Ketiga-tiga rakan kongsi ekonomi ini kini memberi risiko kepada perdagangan dan pelaburan Malaysia,” kata Williams.
Beliau berkata keutamaan kepada ASEAN, Asia dan pasaran lain yang pelbagai boleh membantu mengurangkan pendedahan ini walaupun peralihan ini tidak dapat berlaku segera kerana kesemua rantau ini bukan pasaran terbesar bagi eksport utama Malaysia seperti semikonduktor, barangan elektrik dan elektronik serta komoditi.
Dalam pada itu, hubungan yang lebih mendalam dengan China mungkin mencetuskan kebimbangan di Washington seperti yang berlaku di Vietnam dan Kemboja, dengan kedua-dua negara ini dikenakan tarif tinggi oleh AS berikutan China memindahkan operasi pengeluaran ke pasaran ini.
-- BERNAMA