KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Kertas siasatan terhadap Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting akhbar Sin Chew Daily berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu dihantar ke Pejabat Peguam Negara, semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain semasa mengesahkan perkara itu juga memaklumkan bahawa polis telah merakam keterangan 54 individu setakat semalam, dan akan memanggil saksi lain berdasarkan keperluan siasatan.
“Siasatan awal mendapati alasan diberikan pihak akhbar berhubung isu itu adalah berlakunya kesilapan teknikal dalam penyiaran artikel terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Khamis lepas Ketua Editor yang berperanan meluluskan penyiaran ilustrasi itu dan Timbalan Ketua Penyunting selaku pereka grafik gambar berkenaan ditahan dan dirakam keterangan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Selasa lepas akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera itu dilihat tidak lengkap sehingga mendapat kritikan pelbagai pihak.
Akhbar berkenaan telah memohon maaf dan menjelaskan ia adalah kesilapan teknikal tidak disengajakan.
-- BERNAMA