AM

PEMAKAIAN LENCANA JALUR GEMILANG LANGKAH AWAL PEMBINAAN NEGARA - MCPF

19/04/2025 06:03 PM

SEPANG, 19 April (Bernama) -- Usaha Kementerian Pendidikan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid secara berperingkat bermula Isnin ini adalah pendekatan awal yang baik dalam pembinaan negara dari segi pemupukan nilai, identiti dan semangat cintakan tanah air dalam kalangan rakyat.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Seri Ayub Yaakob berkata usaha itu perlu dimulakan daripada peringkat awal pendidikan dengan memberi penekanan terhadap pemahaman Perlembagaan Persekutuan, penghormatan kepada Jalur Gemilang serta penghayatan Rukun Negara.

“Pendidikan tentang negara harus disampaikan tanpa mencampurkan unsur politik atau isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang sering dikaitkan dengan perdebatan orang dewasa.

“Kita tak boleh bawa isu-isu dewasa ke dalam dunia budak sekolah. Apa yang penting ialah mendidik mereka supaya faham apa itu Perlembagaan, apa tanggungjawab mereka sebagai rakyat dan kenapa kita perlu sayang negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelepasan peserta lawatan sambil belajar ketua balai polis ke Shanghai bermula hari ini hingga 26 April di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini hari ini.

Ayub berkata pendedahan awal itu juga dapat mengelak insiden tidak mengenali Jalur Gemilang dengan teliti sehingga satu komponen dalam bendera terlepas pandang.

“Cinta kepada negara bukan hanya papar di dada, tapi mesti dipupuk dalam hati.

“Lagu, simbol dan bendera, ini semua adalah alat untuk mendidik tapi yang paling penting roh dan falsafah di sebaliknya iaitu cintakan negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa prinsip Rukun Negara tidak seharusnya dilupakan dan perlu sentiasa diamalkan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia sama ada di sekolah, universiti atau dalam masyarakat.

Ayub juga mencadangkan agar semua pelajar universiti dibekalkan dengan salinan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan sepanjang pengajian mereka untuk memahami peranan serta hak mereka sebagai warganegara.

“Bila kita tahu hak kita, kita akan tahu tanggungjawab kita. Kita tak akan mudah terpengaruh atau memandang rendah negara sendiri hanya kerana kita tak tahu nilai sebenar yang terkandung dalam Perlembagaan,” katanya.

Dalam majlis itu, MCPF membawa sembilan ketua balai polis cemerlang yang terpilih dari seluruh negara bagi mengikuti lawatan sambil belajar ke Shanghai.

Program itu bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka sempena Program Lawatan Balai Polis Cemerlang MCPF 2024 untuk mengikuti lawatan sambil belajar di Shanghai, sebuah metropolis dan ibu kota kewangan China.

Lawatan itu diketuai Pengarah Program Lawatan Balai Polis Cemerlang 2024 Datuk Kamarudin Md Ali dan turut disertai Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.

Antara pengisian program adalah lawatan ke balai polis bandar dan luar bandar Shanghai yang terletak di West Nanjing serta Zhou Pu, selain rombongan melawat Shanghai Public Security Police Museum, Law Enforcement and Case Management Centre of Putuo Branch dan Shanghai Police College.

Ditubuhkan 31 tahun lepas, MCPF adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang komited dalam memberi kesedaran umum berhubung pencegahan jenayah bagi mewujudkan persekitaran lebih selamat dan masyarakat yang lebih aman.

MCPF adalah sebahagian daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Asia yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan