AM

PROJEK LRT MUTIARA LINE PULAU PINANG KEKAL MENGIKUT JADUAL – MRT CORP

21/04/2025 12:02 PM

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Pelaksanaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line di Pulau Pinang kekal mengikut jadual dan perancangan, menurut pemilik projek Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp).

Dalam kenyataan hari ini, MRT Corp memaklumkan bahawa kemajuan ketara telah dicapai dalam tempoh tiga bulan lepas, antaranya kelulusan kerja-kerja awal di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, yang diperoleh pada 15 April lepas.

“MRT Corp juga telah mencatat kemajuan signifikan dalam proses pengambilan tanah, dengan akses diperoleh ke atas 86 lot setakat ini, serta pewartaan mengikut Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960, telah diselesaikan,” menurut kenyataan itu.

Kemajuan yang dicapai lebih awal daripada sasaran asal pada Oktober 2025 itu, dianggap sebagai pencapaian penting dalam memastikan projek kekal berada di landasan yang betul.

MRT Corp turut menjelaskan bahawa SRS Consortium Sdn Bhd (SRS), selaku Kontraktor Utama Kerja Awam bagi Pakej 1 projek berkenaan, kini sedang memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan selepas penganugerahan kontrak, seperti yang digariskan dalam perjanjian

Notis Pelaksanaan Rasmi (NTP) hanya akan dikeluarkan kepada SRS Consortium selepas semua syarat pasca penganugerahan itu dipenuhi dengan memuaskan.

"Sebagai kontraktor reka dan bina untuk kerja awam Pakej 1, SRS perlu memuktamadkan reka bentuk serta pelan pembinaan bagi struktur kerja awam dalam skop projek selepas NTP dikeluarkan. Satu lagi aspek kritikal prapembinaan bermula adalah kerja pemindahan utiliti, yang perlu diselesaikan sebelum sebarang kerja pembinaan stesen atau jejambat dapat dimulakan," jelas MRT Corp.

Penjelasan itu dibuat susulan laporan sebuah portal berita yang memetik Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng, yang mempersoalkan status projek tersebut memandangkan notis rasmi untuk memulakan kerja masih belum dikeluarkan walaupun pelancaran rasmi telah dibuat pada Januari.

LRT Mutiara Line sepanjang 29.5 kilometer itu merangkumi 21 stesen strategik dan direka untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan tanah besar, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya serta mempertingkat aksesibiliti.

Pelan jajaran utamanya merangkumi laluan dari Pulau Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR-A) ke Penang Sentral dan Stesen Komtar di Georgetown, dengan perkhidmatan tren dijadualkan bergerak secara bergilir di sepanjang laluan berkenaan.

-- BERNAMA


 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan