BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 SUKAN

NEGERI SEMBILAN BERPESTA GOL, BENAM PDRM 6-1 DI SELAYANG

14/03/2026 01:19 AM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Negeri Sembilan FC meraih kemenangan bergaya dengan pesta gol, membenam PDRM FC 6-1 dalam saingan Liga Super 2025/2026 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Pasukan pelawat berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi penyerang sensasi Luqman Hakim Shamsudin yang berjaya memanfaatkan peluang terhidang di hadapan pintu gol PDRM.

Negeri Sembilan yang leka dengan gol pendahuluan tersentak apabila tuan rumah memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-22 menerusi ketua pasukan Park Taesu yang memperdayakan barisan pertahanan sebelum menolak masuk bola ke gawang gol pelawat.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan kembali menguasai perlawanan apabila Takumi Sasaki meletakkan pasukan itu kembali di hadapan pada minit ke-38 hasil daripada gerakan kemas bermula hantaran Luqman Hakim kepada Muhammad Afiq Fitri Mohd Jefry sebelum pemain itu melorongkan bola kepada Takumi untuk disudahkan.

Momentum pasukan pelawat terus memuncak apabila Luqman Hakim sekali lagi mencuri tumpuan dengan meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-40, sekali gus melebarkan kedudukan 3-1 sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, anak buah K. Rajan terus mengawal permainan dengan baik dan menambah jaringan pada minit ke-53 menerusi tandukan Kei Oshiro selepas menerima hantaran lintang Muhammad Afiq Fitri.

Takumi kemudian melengkapkan gol keduanya dalam perlawanan itu pada minit ke-69 sebelum Ahmad Khuzaimi Piee menutup pesta jaringan Negeri Sembilan menerusi gol keenam sembilan minit kemudian. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan