AM

PR1MA LANCAR M-NIAGA PACU SOSIOEKONOMI KOMUNITI

21/04/2025 05:01 PM

KUALA LUMPUR 21 April (Bernama) -- Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) melalui inisiatif M-Niaga menyediakan 256 unit komersial yang bernilai RM160.15 juta sebagai usaha menyokong perniagaan kecil dan sederhana di dalam kawasan kediaman PR1MA.

M-Niaga ialah sebahagian daripada aspirasi PR1MA untuk membentuk komuniti yang berkembang dan berdaya tahan dari segi ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dalam kenyataan berkata pelancaran M-Niaga ialah bukti komitmen PR1MA dalam memperkasakan komuniti melalui penyediaan peluang ekonomi yang mampan.

“Kami percaya inisiatif ini amat penting dalam meningkatkan taraf hidup penduduk dan mewujudkan ekosistem perniagaan yang berdaya saing, selari dengan matlamat kami untuk menyediakan pembangunan bersepadu yang inklusif dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam kenyataan sama berkata usaha PR1MA dalam melancarkan M-Niaga selaras dengan matlamat Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, serta menggalakkan pembangunan fizikal dan sosioekonomi tempatan.

“Saya ucapkan syabas kepada PR1MA atas inisiatif yang bermakna ini. Saya percaya M-Niaga bukan sahaja berpotensi membentuk komuniti yang lebih kondusif, malah dapat mewujudkan suasana perniagaan yang lebih inovatif dan berdaya saing, terutamanya untuk perniagaan kecil dan sederhana,” kata Nga pada majlis pelancaran M-Niaga baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, unit komersial yang berkeluasan antara 689 hingga 5,803 kaki persegi itu tampil dengan reka bentuk fleksibel dan susun atur praktikal, sesuai untuk pelbagai jenis perniagaan.

Lokasi-lokasi terpilih yang strategik dan berhampiran kawasan yang berkembang pesat juga akan menjamin aliran trafik dan keterlihatan yang optimum kepada peniaga.

“Dengan harga bermula daripada RM289,800, unit-unit komersial M-Niaga terletak di Selangor, Perak, Melaka, Kedah, Kelantan, Johor, Sabah, dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif M-Niaga itu mencerminkan komitmen PR1MA dalam melangkaui peranan utamanya sebagai penyedia kediaman mampu milik berkualiti, ke arah menjadi pemacu pembangunan komuniti yang dapat meningkatkan taraf hidup penduduk secara menyeluruh.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan