JENAYAH & MAHKAMAH

JKN PERLIS SAHKAN INSIDEN PENYAMARAN PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN DI PEKARANGAN HTF

21/04/2025 11:14 PM

KANGAR, 21 April (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mengesahkan insiden penyamaran sebagai Penolong Pegawai Perubatan (PPP) oleh seorang lelaki yang tular di TikTok semalam, berlaku di pekarangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pada 8 April lalu.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Ghazali Chik berkata kejadian itu berlaku pada pukul 9.28 malam dan pelaku dikenal pasti sebagai orang awam berusia 22 tahun yang lengkap berpakaian seragam PPP serta membawa beg peralatan perubatan.

“Suspek mengaku membeli pakaian seragam PPP dan peralatan berkaitan menerusi platform dalam talian. Dia menyamar kerana mempunyai minat mendalam terhadap profesion itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dr Ghazali berkata JKN Perlis memandang serius perkara itu dan sudah mengarahkan pihak hospital memperketat kawalan keselamatan di seluruh kawasan HTF.

Beliau turut mengingatkan orang awam bahawa penyamaran sebagai penjawat awam adalah satu kesalahan jenayah mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

“Pihak HTF sudah mengambil tindakan segera dengan memaklumkan perkara itu kepada pengurusan tertinggi jabatan pada hari sama. Laporan polis turut dibuat pada 9 April lepas dan tindakan lanjut diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penyamaran itu pada 9 April dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan