JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal membantu meningkatkan lagi kecekapan dan daya tahan rantaian bekalan ASEAN, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Selain itu, katanya, cadangan penubuhan Taman Perindustrian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN/Serantau (RCEP) dalam JS-SEZ juga akan membantu menambah baik integrasi ekonomi serantau dan menarik pelaburan bernilai tinggi.
Beliau percaya pembentukan taman perindustrian itu sejajar dengan aspirasi untuk meningkatkan kecekapan dan daya tahan rantaian bekalan.
"Kita mahu JS-SEZ menjadi lebih daripada sekadar rangka kerja dua hala -- ia adalah cadangan nilai untuk seluruh ASEAN," katanya menerusi ucaptama beliau pada Forum Perniagaan dan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong.
Acara dua hari itu yang bertemakan 'JS-SEZ: Merapatkan Ekonomi, Memperkukuh Rangkaian Bekalan', dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura dan kerajaan negeri Johor.
Tengku Zafrul berkata kerajaan Persekutuan turut menyokong cadangan inisiatif sandbox kawal selia, yang akan ditempatkan di Ibrahim Technopolis (IBTEC) dan Ladang Air Manis di Kulai.
Menurutnya, inisiatif itu akan memainkan peranan penting dalam usaha memanfaatkan gelombang baharu pelaburan mampan dan bernilai tinggi yang memberi manfaat kepada pihak berkepentingan tempatan dan rakan antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata nadi hubungan Malaysia-Singapura terletak pada hakikat bahawa kedua-dua negara berada pada tahap terbaik apabila bekerjasama.
"Malaysia adalah rakan dagangan kedua terbesar Singapura, manakala Singapura adalah destinasi eksport terbesar Malaysia dan rakan dagangan kedua terbesar di dunia pada 2024.
"Perdagangan kita pada 2024 berjumlah US$86.69 bilion (US$1=RM4.41), dipacu oleh produk elektrik dan elektronik, produk petroleum, jentera, peralatan dan alat ganti, pertanian, optik dan peralatan saintifik," katanya.
Diplomasi Tarif
Tengku Zafrul berkata Malaysia komited sepenuhnya untuk mencapai penyelesaian yang akan mengekalkan akses pasaran dan rantaian bekalan yang penting, menarik pelaburan asing yang berterusan dan menyokong kesejahteraan pekerja dan perniagaan.
Beliau menegaskan bersama-sama rakan ASEAN yang lain Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif tindak balas terhadap Amerika Syarikat (AS).
"Dari perspektif ASEAN, tindakan balas adalah tidak produktif. Sebaliknya, rantau ini berusaha untuk mengadakan perbincangan yang membina dengan AS dengan pendekatan progresif untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan menangani cabaran bersama," katanya.
Bagi Malaysia, beliau berkata, kerajaan menyedari akan cabaran tarif tersebut terhadap pekerja, pengilang dan perniagaan.
“Kita mesti dan akan mencari penyelesaian yang boleh diterima bersama, adil dan saksama bagi isu ini, baik secara dua hala mahupun pelbagai hala,” katanya.
-- BERNAMA