AM

LEBIH 100 CCTV BANTU MBDK PANTAU PEKERJA ASING DI KLANG - DATUK BANDAR

21/04/2025 05:21 PM

KLANG, 21 April (Bernama) -- Lebih 100 kamera litar tertutup (CCTV) yang beroperasi di daerah ini akan dimanfaatkan bagi membantu Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memantau gerai dan kios di bawah pengurusan pihak berkuasa tempatan itu susulan larangan pengambilan pekerja asing termasuk pemastautin tetap yang berkuat kuasa 1 Jun depan.

Datuk Bandar MBDK Datuk Abd Hamid Hussain berkata CCTV yang asasnya dipasang bagi memantau aktiviti pembuangan sampah haram itu akan diperluas penggunaannya bagi mengumpul data dan maklumat pihak yang ingkar larangan tersebut.

“Kita sasarkan sifar pengambilan dan pekerja asing bekerja di premis bawah kendalian majlis mulai 1 Jun ini, ia menjadi antara usaha mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Setakat ini MBDK mempunyai lebih 100 buah CCTV di seluruh Klang dan sebagai usaha serampang dua mata, kemudahan sama akan digunakan bagi memantau kawasan premis atau kiosk yang ingkar larangan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Brainstorming Wake Up & Make Up Klang di sini hari ini.

Bengkel berkenaan dianjurkan sebagai menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang pada 5 Dis tahun lepas yang menzahirkan rasa kesal dan dukacita dengan tahap kebersihan di bandar raya itu.

Abd Hamid berkata maklumat serta data dari pemantauan CCTV itu akan digunakan oleh MBDK untuk ‘turun padang’ bersama-sama Jabatan Imigresen mengambil tindakan sewajarnya terhadpa pihak yang tidak mematuhi larangan tersebut.

"Penguatkuasaan dan pemantauan turun padang sentiasa dijalankan menjelang 1 Jun, contohnya MBDK baru-baru ini telah menutup, menyita dan menarik hak sewaan terhadap penyewa premis yang menggajikan pekerja warga India.

"Ini menunjukkan MBDK serius dalam menangani isi ini dan tidak akan berkompromi serta bertegas khususnya selepas tarikh pewartaan larangan berkuat kuasa tidak lama lagi," katanya.

Pada 19 April lepas, MBDK mengeluarkan notis larangan pengambilan pekerja asing termasuk pemastautin tetap sebagai pembantu di semua gerai dan kios di bawah pengurusannya mulai 1 Jun 2025.

Larangan melibatkan semua penyewa gerai makanan, minuman dan kios di pasar-pasar awam milik majlis itu dkuatkuasakan antara lain bagi mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta memperkemas sistem pemantauan dan pendaftaran pekerja di gerai-gerai kendalian majlis.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan